

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata STAR mungkin mahu memanfaatkan sokongan pengundi yang lebih memihak kepada parti tempatan, tetapi meninggalkan gabungan pemerintah negeri akan mengurangkan akses parti itu kepada sumber penting menjelang pilihan raya.
“Pendekatan ini kemungkinan akan memudaratkan diri sendiri, terutamanya pada saat-saat akhir menjelang PRN ke-17,” kata Lee kepada FMT.
Lee menambah rakyat Sabah secara tradisinya bersikap skeptikal terhadap parti yang bertanding secara solo.
“Kehilangan sumber yang boleh diperoleh melalui keanggotaan dalam gabungan GRS dan menghadapi pilihan raya tanpa rakan gabungan yang jelas kemungkinan tidak memberi manfaat kepada STAR.
“Perjalanan ‘solo’ perlu dirancang dengan taktikal untuk mengelakkan kekalahan,” jelasnya.

Bilcher Bala, juga dari UMS, berkata sukar untuk mana-mana parti di Sabah bertanding secara sendirian kerana politiknya lebih berasaskan gabungan.
“Parti terasing biasanya akan hilang pengaruh kecuali mereka mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh,” katanya.
Beliau menambah Presiden STAR Jeffrey Kitingan, mungkin bergantung pada jenamanya sendiri dan kepercayaan terhadap tarikan parti di peringkat akar umbi, tetapi parti itu akan menghadapi kesukaran menentang lawan lebih berkemampuan.
“Jika STAR berjaya mengekalkan kerusi mereka atau bahkan menambah jumlahnya, Kitingan boleh meletakkan dirinya sebagai ‘kingmaker’ dalam rundingan pasca pilihan raya. Tetapi jika parti itu gagal, ia berisiko diketepikan sebagai pemain kecil,” kata Bilcher.
STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) meninggalkan gabungan pemerintah negeri selepas mesyuarat Majlis Presiden GRS, Rabu lalu.
Kitingan menegaskan GRS harus bertanding secara solo pada PRN negeri ini dan tidak meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan, kerana ini adalah kehendak rakyat Sabah.
Kesan minimum GRS
Lee berkata pemergian STAR bermakna GRS kehilangan salah satu tiang utama wakil pribumi Sabah menjelang pilihan raya, terutama di kalangan komuniti Kadazandusun Murut (KDM).
Namun, beliau percaya ia hanya akan menimbulkan gangguan jangka pendek kepada persiapan pilihan raya, dan meramalkan gabungan itu akan menyusun semula dan mengukuhkan sokongan pribumi melalui komponen lain berasaskan KDM, iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS).
“GRS sendiri, yang membolehkan keahlian terus, juga akan menjadi payung baru bagi penyokong STAR yang memutuskan untuk kekal bersama GRS,” tambahnya.
Bilcher berkata GRS juga mungkin ‘secara senyap-senyap menyambut baik’ pemergian parti itu, terutamanya selepas Kitingan menjadi subjek siasatan rasuah susulan tular beberapa video yang mengaitkannya dengan skandal perlombongan di Sabah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini membersihkan Ketua Menteri dan Pengerusi GRS, Hajiji Noor, daripada sebarang salah laku berkaitan skandal tersebut.
“Adalah munasabah jika pemimpin GRS melihat STAR sebagai liabiliti, terutamanya dengan timbulnya dakwaan rasuah. GRS mungkin mengira bahawa kehilangan enam kerusi negeri dan satu kerusi Parlimen adalah kurang merugikan berbanding membawa beban rakan yang tercemar skandal ke pilihan raya.
“Oleh kerana STAR dikenali melalui Kitingan secara peribadi, skandal ini boleh menjejaskan imej keseluruhan parti. Walaupun belum terbukti, persepsi salah laku boleh mempengaruhi pengundi yang belum membuat keputusan,” jelasnya.
Namun, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapuramenjangkakan dakwaan rasuah itu memberi kesan yang kecil di kawasan pilihan raya STAR, di mana keperluan terhadap pembangunan infrastruktur dianggap lebih penting daripada segalanya.