
Beberapa penganalisis senada gabungan dua parti itu dianggap berisiko mengambil kira sejarah perseteruannya dan kemungkinan kerjasama hanya didasari kepentingan peribadi pemimpin tertentu seperti Presiden Warisan Shafie Apdal dan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin.
Warisan ditubuhkan pada 2016 selepas Shafie keluar Umno dan menggerakkan kempen menjatuhkan pentadbiran BN di Sabah pada PRU14.
Meskipun hanya memperoleh 21 kerusi selain lapan daripada Pakatan Harapan (PH) yang menjadi rakan gabungannya, Shafie menjadi ketua menteri selepas disokong beberapa Adun BN untuk mendapat majoriti mudah dengan 35 DUN.
Menurut Bilcher Bala, kerjasama dua parti yang pernah bertempur retorik dan saling melemparkan tuduhan itu akan menimbulkan kekeliruan dan rasa dikhianati terutama dalam kalangan penyokong masing-masing selain menimbulkan sentimen ‘Undi Warisan dapat BN/Umno.
Katanya, tanpa disertai perjanjian dasar yang jelas, kerjasama Warisan-BN jika berlaku mungkin sukar ‘diformatkan’ menjadi gabungan berasaskan dasar mampan yang akhirnya rapuh.
“Jika rundingan tertumpu pada jawatan individu atau kedudukan, kerjasama itu berisiko rapuh dan hanya bertahan selagi kedua individu mendapat manfaat langsung,” kata penganalisis dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada FMT.
Baru-baru ini, spekulasi bertiup kencang hubungan rahsia antara Warisan dan BN yang dinamakan ‘Langkah Kinabalu 2.0’ apabila kedua-dua ketua parti didakwa mengadakan pertemuan sulit.
Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memetik sumber ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, satu pertemuan berlangsung antara Shafie dan Pengerusi BN Zahid Hamidi dipercayai membincangkan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN.
Shafie turut dikatakan bersedia memberi laluan kepada Umno untuk jawatan ketua menteri jika kedua-dua parti berjaya menawan semula Sabah.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Semporna itu menegaskan Warisan akan bertanding di semua 73 kerusi DUN pada PRN Sabah. Namun, beliau tidak menyentuh kerjasama membentuk kerajaan selepas PRN.
Zahid pula menyatakan kesediaan bekerjasama dengan semua parti kecuali Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara Sabah berkata keyakinan awam akan merosot dan risiko ketidakstabilan politik juga dijangka meningkat jika kerjasama Warisan-Umno dilihat sebagai alat kuasa peribadi tanpa mekanisme tadbir urus jelas.
“Ketidaktentuan politik boleh menunda projek pembangunan dan pelaburan yang memerlukan kepastian dasar jangka panjang,” katanya mengulas risiko bakal timbul jika gabungan dua parti rapuh.
Seorang lagi penganalisis Syahrudin Awang Ahmad berpendapat, kerjasama Umno dan Warisan jika benar berlaku semula melalui naratif ‘Langkah Kinabalu 2.0’ akan menimbulkan persoalan mendalam oleh penyokong.
“Sejarah dua parti itu yang sarat dengan konflik di mana Umno/BN pernah menjatuhkan kerajaan Warisan (pada 2020 membawa kepada PRN mengejut) dan Warisan sendiri ditubuhkan untuk menentangnya akan dijadikan hujah penentangan oleh akar umbi.
“Tidak mustahil naratif ‘Undi Warisan dapat Umno’ atau sebaliknya akan menjejaskan keyakinan pengundi, terutama generasi muda yang skeptikal terhadap politik bersifat oportunis,” kata penyelidik di Borneo Geo-Politics & Electoral Studies (GeoPES).
Syahrudin turut memberi amaran, kerjasama itu berdepan risiko perpecahan dan berpaling tadah jika wujud hanya bermotifkan survival politik individu seperti Shafie serta Bung.
“Ia berisiko menjadi kerjasama rapuh dan sementara, menimbulkan ketidaktentuan politik dan akhirnya menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi demokrasi negeri.
“Dengan kata lain, kerjasama ini lebih bersifat ‘batu loncatan’ atau platform mendapatkan kuasa semata-mata, jika bersifat sementara maka rakyat akan rasa diperdayakan dan tidak lagi memilihnya pada masa depan,” katanya.