
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata individu berkenaan terdiri daripada murid, guru, kakitangan sekolah, doktor termasuk keluarga mangsa.
Katanya, pihaknya juga sedang mendapatkan beberapa laporan dan rekod daripada sekolah berkenaan, forensik, dan hospital.
“Dijangka dalam masa terdekat kertas siasatan akan dimajukan kepada timbalan pendakwa raya. Siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan buli,” katanya kepada Kosmo.
Alzafny turut menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan khabar angin antaranya mangsa merupakan mangsa buli mahupun sebaliknya.
“Hormati keluarga serta orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas sehingga mengganggu proses siasatan.”
Rabu lalu, Kementerian Pendidikan mengesahkan maklumat mengenai insiden seorang murid ditemukan tidak sedarkan diri di sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Bedah siasat pada 2 Okt, mendapati punca kematian adalah disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh mangsa.