
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, berkata acara tersebut merupakan inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
Tegasnya, hidangan makanan dan minuman dalam majlis makan malam tersebut bukan di bawah penyediaan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.
Katanya, peranan pihaknya hanyalah tertumpu kepada penyelarasan persembahan seni dan budaya serta pelancaran Kalendar Acara Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang turut diadakan pada malam tersebut.
“Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah, yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.
“Majlis makan malam yang dijadikan isu oleh Mas Ermieyati sebenarnya adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Mas Ermieyati mempersoalkan adakah majlis anjuran kerajaan yang merujuk kepada Tourism Malaysia membenarkan hidangan minuman beralkohol.
“Sejak bila boleh dihidangkan arak dalam program rasmi kerajaan. Adakah di bawah kerajaan Madani, benda yang sudah terlarang dibenarkan,” katanya dalam video di Instagram.
Tiong berkata, Tourism Malaysia hanya meminjam platform majlis makan malam tersebut bagi tujuan pelancaran TMM2026.
Katanya, ia satu peluang memperkenalkan Malaysia kepada dunia melalui kerjasama erat dengan pihak industri.
“Sebanyak 318 acara daripada setiap negeri di Malaysia telah disenaraikan dalam Kalendar Acara TMM2026 ini. Adakah usaha sebegini juga dianggap salah,” katanya.
Tambahnya, pihak kementerian sentiasa menghormati kepelbagaian budaya dan pegangan agama di Malaysia, dan tidak akan sama sekali membenarkan sebarang penyelewengan fakta.
Katanya, pada majlis makan malam itu, penganjur telah menyediakan pelbagai pilihan minuman tanpa alkohol dengan mencukupi.
“Di samping memenuhi keperluan pelbagai tetamu antarabangsa, demi memastikan setiap aspek diraikan dengan sebaik mungkin.
“Saya juga ingin menggesa Ahli Parlimen Masjid Tanah agar menumpukan perhatian kepada perkara yang benar-benar dapat memacu kemajuan negara,” katanya.