Ambil iktibar rekod Warisan jejaskan projek Pan Borneo, kata pemimpin Umno

Ambil iktibar rekod Warisan jejaskan projek Pan Borneo, kata pemimpin Umno

Awang Aslee berkata pembatalan model PDP Pan Borneo ketika pentadbiran Warisan pada 2019 memberi kesan kepada rakyat Sabah.

Lebuh Raya Pan Borneo
Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah yang membabitkan jajaran jalan 706 kilometer dilancarkan pada 2016 untuk meningkatkan akses kepada warga negeri itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Projek Lebuhraya Pan Borneo mungkin berisiko menjadi ‘mangsa politik’ sekali lagi sekiranya Warisan kembali berkuasa di Sabah, dakwa seorang pemimpin Umno.

Ketua Umno Beaufort Awang Aslee mengingatkan rakyat mengenai keputusan pembatalan model rakan pelaksana projek (PDP) yang turut membabitkan kerajaan pimpinan Shafie Apdal pada 2019.

Awang Aslee.
Awang Aslee.

Menurutnya, keputusan itu menyebabkan kelewatan projek menyiapkan laluan membabitkan jajaran jalan 706 kilometer terbabit sehingga menyukarkan rakyat.

“Ia satu kegagalan dasar yang mahal dan memalukan,” katanya dalam kenyataan sambil menyifatkan tindakan itu sebagai contoh klasik keputusan populis yang terburu-buru tanpa analisis kos faedah, sekali gus merugikan rakyat.

Pada 2019, Shafie dipetik berkata keputusan membatalkan model PDP itu dibuat selepas perbincangan dengan Putrajaya, sambil menekankan kerajaan negeri perlu terlibat dalam pelaksanaan projek bagi memastikan ia diurus secara telus.

April lalu, Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, dilaporkan Bernama berkata empat daripada 16 pakej Fasa 1A Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah disiapkan.

Menurutnya, baki 12 pakej lagi sedang dalam pembinaan dengan kemajuan 81.7% siap.

Sementara itu, bagi Fasa 1B, sebanyak 19 pakej kerja sedang dilaksanakan dengan kemajuan semasa 3.06%.

Mengulas lanjut, Awang menegaskan rakyat berhak mendapat jaminan bahawa projek itu tidak sekali lagi menjadi korban politik sempit Warisan.

“Jika Warisan kembali berkuasa, adakah Pan Borneo akan digadaikan sekali lagi? Rakyat berhak tahu pendirian mereka hari ini,” katanya sambil menegaskan Pan Borneo bukan projek yang boleh dijadikan eksperimen politik.

“Ia simbol pembangunan, keadilan ekonomi dan masa depan Sabah. Jangan biarkan kesilapan 2019 berulang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.