
Seri Paduka Baginta bertitah, GSF adalah misi kemanusiaan murni dalam membantu mereka yang kelaparan termasuk golongan warga emas, wanita dan kanak-kanak.
Baginda bertitah, sukarelawan terlibat dalam GSF termasuk rakyat Malaysia sanggup menggalas risiko dan cabaran demi membawa mesej kemanusiaan ke peringkat antarabangsa.
“Mereka hanya dalam misi kemanusiaan membawa bekalan makanan, namun dihalang dan ditahan. Ini bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat.
“Pada hari ini, saya mendapatkan taklimat terkini mengenai perkembangan semasa GSF termasuk usaha sedang dilakukan Malaysia dalam membebaskan sukarelawan kita,” titahya kepada Royal Press Office.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Baginda berharap setiap usaha murni sedang dilakukan serta digerakkan kerajaan dalam membantu sukarelawan Malaysia dipermudahkan dan dilindungi Allah.
Kementerian Luar memaklumkan semua 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai GSF bagi misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza berada dalam keadaan selamat dan sihat serta akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
Mereka adalah penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli atau Farah Lee dan Danish Nazran Murad (Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (Alma) serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (Sirius).
Selain itu, Razali Awang (Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana (Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (Free Willy).