Persatuan bantah arahan berkait bius, pengelasan rawatan pesakit dalam

Persatuan bantah arahan berkait bius, pengelasan rawatan pesakit dalam

Persatuan Perubatan Malaysia kata bimbang akan suatu pekeliling oleh TPA, menyifatkan ia campur tangan dalam autonomi klinikal.

Thirunavukarasu Rajoo
Persatuan Perubatan Malaysia kata bimbang akan suatu pekeliling oleh TPA kerana ia ditandatangani doktor. (Gambar MMA)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyatakan kebimbangan berhubung satu lagi pekeliling yang diedarkan oleh pentadbir pihak ketiga (TPA), mengarahkan penyedia penjagaan kesihatan mengenai pilihan anestesia (bius) dan klasifikasi prosedur tertentu sebagai rawatan harian atau pesakit dalam.

Presiden Dr R Thirunavukarasu berkata arahan sedemikian adalah campur tangan dalam autonomi klinikal, dan pelanggaran jelas etika perubatan.

Kenyataan ini dikeluarkan kurang seminggu selepas beliau menggesa kerajaan mengawal selia TPA dan organisasi penjagaan terurus, selepas TPA mengarahkan klinik panel mengehadkan pekerja kepada ubat generik bagi merawat penyakit kronik.

“Keputusan mengenai anestesia dan status kemasukan pesakit mestilah sentiasa dibuat oleh doktor yang merawat, berdasarkan keperluan dan keselamatan pesakit, bukan pertimbangan kewangan atau pentadbiran,” kata Thirunavukarasu.

“Kepercayaan masyarakat pada penjagaan kesihatan menjadi taruhan… Tanggungjawab penjagaan mestilah jelas: pesakit diutamakan, sentiasa.”

Thirunavukarasu menambah pekeliling itu membimbangkan kerana ia ditandatangani oleh seorang doktor. Beliau mengingatkan para doktor bahawa mereka berisiko melanggar kewajipan profesional, dan meletakkan diri dalam kedudukan percanggahan kepentingan dengan menyokong tindakan sedemikian.

Beliau berkata doktor tidak seharusnya menyokong polisi yang menjejaskan keselamatan pesakit atau kebebasan klinikal.

Thirunavukarasu menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mengawal selia TPA dan organisasi penjagaan terurus, dan menyorot perhatian pada garis panduan KKM berhubung penjagaan terurus di mana organisasi sedemikian dilarang campur tangan dalam keputusan rawatan.

“KKM tidak boleh berdiam diri sementara kepentingan komersial mengganggu penjagaan klinikal,” katanya.

Terdahulu hari ini, laman berita kesihatan, CodeBlue, melaporkan MediExpress Sdn Bhd mengarahkan hospital panel untuk mengutamakan anestesia setempat (LA) berbanding anestesia am (GA) untuk prosedur dan pembedahan, melainkan terdapat ‘kontraindikasi klinikal yang jelas’.

Ia juga melaporkan TPA itu mengingatkan hospital panel bahawa prosedur tertentu boleh dilakukan sebagai prosedur rawatan harian tanpa memerlukan kemasukan semalaman, menyatakan ‘justifikasi yang sesuai’ mesti disediakan untuk kelulusan surat jaminan (GL).

Ini menyusuli insiden serupa minggu lalu di mana CodeBlue melaporkan MiCare Sdn Bhd, iaitu TPA milik Zuellig Group yang berpangkalan di Hong Kong, mengarahkan penyedia penjagaan kesihatan panel mengehadkan pekerja Bank Hong Leong kepada ubat versi generik bagi merawat keadaan kronik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.