Modul kewangan wajar diperluas ke pembiayaan rumah, kereta

Modul kewangan wajar diperluas ke pembiayaan rumah, kereta

Perunding kewangan berkata pembiayaan rumah dan kereta biasanya menjadi hutang terbesar bagi majoriti individu.

rasuah money
Bank Negara mewajibkan individu yang memohon pinjaman peribadi melebihi RM100,000 menghadiri dan melengkapkan modul pendidikan kewangan.
PETALING JAYA:
Seorang perunding kewangan mengesyorkan langkah mewajibkan pemohon pembiayaan peribadi melebihi RM100,000 menghadiri modul kewangan diperluaskan kepada pembiayaan rumah dan kereta, yang melibatkan komitmen jauh lebih besar.

Afyan Mat Rawi dari Infaq Consultancy berkata, pembiayaan rumah dan kereta biasanya menjadi hutang terbesar bagi majoriti individu, justeru latihan kewangan sistematik perlu diwajibkan sebelum pemohon terjebak ke hutang jangka panjang.

“Untuk rumah, modul boleh tekankan perbandingan kos beli dengan sewa serta kos penyelenggaraan. Untuk kereta pula, ia perlu jelaskan susut nilai, kos petrol, insurans dan servis,” katanya kepada FMT.

Afyan berkata, modul itu boleh dijadikan prasyarat sama seperti semakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) bagi menapis kelayakan penghutang sebelum sebarang pinjaman diluluskan.

Afyan Mat Rawi.
Afyan Mat Rawi.

“Dengan lebih 30 bank bersaing menawarkan produk, modul ini ibarat payung sebelum hujan,” katanya.

Beliau mengulas laporan Bank Negara (BNM) mewajibkan individu yang memohon pinjaman peribadi melebihi RM100,000 menghadiri dan melengkapkan modul pendidikan kewangan.

Dalam dokumen dasar pembiayaan peribadi dikeluarkan semalam, bank pusat berkata syarat itu antara keperluan baharu ditetapkan BNM.

Dokumen dasar itu bertujuan memperkenalkan amalan pembiayaan berhemah dan bertanggungjawab berhubung penyediaan pembiayaan peribadi oleh penyedia perkhidmatan kewangan, selain menggalakkan tingkah laku peminjam yang bertanggungjawab.

Afyan turut memberi contoh bagaimana ramai pemohon tertarik dengan promosi kadar keuntungan rendah tanpa menyedari jumlah sebenar bayaran akan meningkat jauh lebih tinggi.

Beliau memberi contoh pembiayaan RM120,000 pada kadar keuntungan 6% selama 10 tahun dengan ansuran RM1,333 sebulan.

“Tapi apabila dicampur keseluruhan, jumlah akhir boleh mencecah RM160,000 hingga RM170,000…RM40,000 hingga RM50,000 itu adalah keuntungan bank, bukan pokok hutang.

“Ramai orang nampak pembiayaan peribadi dengan kadar keuntungan promosi seolah-olah murah, tetapi apabila dikira semula jumlah akhir, ia jauh lebih tinggi. Modul ini penting supaya mereka nampak risiko sebenar,” katanya.

Katanya, jika gaji tidak meningkat banyak, bayaran ansuran sebegitu boleh menelan separuh pendapatan bulanan. Justeru, modul kewangan akan membantu pemohon menilai kemampuan sebenar mereka, sekali gus mengelakkan kes culas membayar.

Bagi memastikan modul tidak menjadi beban, Afyan mencadangkan ia direka ringkas, praktikal dan fleksibel, dengan tempoh tidak lebih separuh hari serta dikendalikan konsultan bertauliah.

“Kos modul wajar ditanggung institusi kewangan, bukan penghutang. Kandungan mesti fokus pada risiko sebenar, beza pokok hutang dengan keuntungan bank, serta kesan ansuran terhadap pendapatan bulanan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan modul itu berisiko gagal jika hanya dilihat sebagai ‘cukup syarat’ untuk kelulusan pinjaman.

“Penghutang hadir tapi tidak ambil serius. Jadi, ia mesti interaktif, mudah difahami dan dekat dengan situasi sebenar rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.