
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata pengurangan hampir 60% itu dicapai hasil usaha berterusan dan langkah proaktif yang dilaksanakan kerajaan.
“Angka yang dinyatakan kononnya hutang PBT kepada SWCorp sebanyak RM500 juta adalah tidak tepat. Kini jumlah itu telah berkurang kepada lebih kurang RM200 juta.
“Saya ingin mengingatkan semua PBT supaya wajib mematuhi dan menghormati kontrak atau perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, seperti yang termaktub dalam Akta Kontrak 1950,” katanya pada sidang media selepas merasmikan satu majlis hari ini, menurut Sinar Harian.
Menurutnya, kegagalan PBT melunaskan hutang kepada SWCorp akan menjejaskan kualiti serta kecekapan perkhidmatan pembersihan awam, sedangkan ia merupakan tanggungjawab teras agensi tersebut.
Pada Ogos lalu, Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee yang juga merupakan ahli lembaga SWCorp, berkata PBT berhutang hampir setengah bilion ringgit kepada SWCorp bagi perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan jalan.
Beliau berkata hutang itu berpunca daripada satu persetujuan pada 2011 di mana kerajaan persekutuan mengambil alih perkhidmatan sisa pepejal di beberapa negeri.
SWCorp ialah sebuah agensi persekutuan di bawah KPKT yang mengurus kutipan sampah domestik dan pembersihan awam di negeri-negeri yang menerima pakai sistem sisa nasional.
Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Perlis telah menandatangani perjanjian dengan SWCorp.