Azmin perlu tampil selesai krisis Bersatu

Azmin perlu tampil selesai krisis Bersatu

Penganalisis berkata kemampuan setiausaha agung itu untuk menyatukan parti akan menentukan kelangsungan Bersatu dan kerjaya politiknya.

mohamed azmin ali
Pertelingkahan kepimpinan dalam Bersatu menjadikan Setiausaha Agung Azmin Ali tumpuan utama.
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat Azmin Ali perlu mengambil peranan utama menyelesaikan masalah perpecahan dalaman Bersatu, sambil menegaskan kedudukannya sebagai setiausaha agung amat penting demi kelangsungan parti itu menjelang PRU16.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata bekas menteri besar Selangor itu perlu mengambil langkah proaktif menyatukan parti serta memastikan beliau kekal relevan.

“Azmin, sama seperti presiden Muhyiddin Yassin kena ambil peranan utama menyatukan parti serta mengemukakan idea dasar yang dekat dengan hati pengundi,” katanya kepada FMT.

“Beliau sepatutnya mengambil langkah proaktif kerana mempunyai pengalaman. Rakyat mahu melihat apa yang mampu ditawarkan Bersatu. Sebagai setiausaha agung, beliau boleh ambil peranan dan meletakkan dirinya sebagai pengganti berpotensi kepada Muhyiddin pada masa hadapan,” katanya.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

Beliau berkata demikian susulan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, berkata Azmin tidak layak memimpin parti selagi kontroversi berkait sebuah video pada 2019, yang didakwa memaparkan bekas menteri itu terlibat dalam perbuatan homoseksual, masih belum diselesaikan.

Namun, 10 Adun Bersatu Selangor, termasuk Dr Afif Bahardin (Taman Medan) dan Hilman Idham (Gombak Setia), menuduh Ahli Parlimen Tasek Gelugor cuba mengalihkan perhatian daripada pertuduhan rasuah dihadapinya dengan membangkitkan semula dakwaan lama terhadap Azmin.

Pada ketika video itu tersebar, peguam negara ketika itu telah memutuskan tiada kes untuk mendakwa Azmin.

Semua mata ke arah Azmin

Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, berkata kekal bertahan selain kerjaya politik Azmin yang panjang menjadikannya seorang tokoh penting dalam Bersatu.

Awang Azman Pawi
Awang Azman Pawi.

Katanya, Azmin mula menceburi politik melalui Umno dengan berkhidmat sebagai setiausaha sulit Anwar Ibrahim pada awal kerjayanya. Selepas penangkapan Anwar, beliau menjadi antara pembantu utama Anwar dan kemudiannya dilantik menteri besar Selangor.

Bekas timbalan presiden PKR itu terus mengembangkan pengaruhnya secara berperingkat sehingga Langkah Sheraton pada 2020, selepas itu beliau berpihak kepada Muhyiddin dalam Bersatu.

Azman Awang berkata, pertelingkahan dalaman yang berterusan berkait pertukaran kepimpinan, termasuk kenyataan terbaru oleh Wan Saiful, membawa tumpuan lebih terarah kepada Azmin.

“Beliau merupakan tokoh senior, hampir setaraf dengan Muhyiddin, dan itu menjadikan kepimpinannya penting ketika parti sedang mencari hala tuju,” katanya kepada FMT.

“Sama ada beliau mampu bangkit pada saat ini bergantung kepada bagaimana respons diberi terhadap kritikan dan mengawalnya,” katanya.

Kem bertelagah

Sivamurugan Pandian
Sivamurugan Pandian.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia, berkata krisis Bersatu telah lama berlarutan susulan kewujudan kem yang bersaing dalam parti kini semakin jelas. Beliau berkata, walaupun parti itu kecil, kekal pemain penting dalam membentuk dinamika politik Malaysia.

Katanya, rekod Azmin sebagai bekas menteri besar Selangor dan juga menteri persekutuan menunjukkan keupayaannya memimpin, namun kontroversi yang berpanjangan melibatkan skandal 2019 masih menjadi cabaran.

“Inilah peluang untuk Azmin membuktikan gaya kepimpinannya dan meletakkan dirinya sebagai pengganti. Namun, ia bergantung kepada bagaimana beliau menguruskan keadaan ini — sama ada berjaya meyakinkan majoriti atau gagal mengekang krisis,” kata Sivamurugan.

“Krisis ini melibatkan ramai tokoh dalam parti, bukan hanya Wan Saiful dan Azmin. Kita dapat lihat sekurang-kurangnya dua puak dengan jelas. Bersatu mesti segera membuat keputusan sama ada mahu memperkukuh kepimpinannya atau membiarkan perpecahan semakin mendalam,” katanya.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata Azmin terlepas peluang memaparkan kepimpinannya ketika kontroversi berhubung akuan berkanun timbul semula, pada perhimpunan agung tahunan parti dalam usaha menjatuhkan Muhyiddin.

“Azmin sepatutnya segera menguruskan keadaan itu. Beliau sepatutnya menangani isu itu sebelum Wan Saiful tampil menyerang dengan mengungkit kes-kes lama berkaitan Azmin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.