
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata beliau bersama Presiden Mesir Abdul Fattah el-Sisi dan Menteri Luar Mohamad Hasan akan menghubungi pihak terbabit bagi menuntut tindakan segera tanpa sebarang kelewatan.
“Sejak saya peroleh maklumat penahanan 23 anak Malaysia bersama rakan lain di seluruh dunia, saya terus menghubungi perdana menteri Qatar.
“Apa yang didakwa kesalahan mereka ialah kerana keprihatinan mereka atas prinsip kemanusiaan membantu rakyat Gaza yang lemah dan mengalami kelaparan. Kalau itu tidak dapat lakukan maknanya nilai kemanusiaan kita tak berharga sekali,” katanya dalam video di Facebook.
Anwar berkata, perbincangan turut diadakan bersama presiden Turki dan Mesir setakat petang ini bagi memohon dukungan mereka dalam usaha mendesak pembebasan.
“Kezaliman yang dilakukan rejim Israel mesti dihentikan serta-merta. Malaysia tidak akan berdiam diri apabila hak dan maruah rakyat kita diinjak.
“Dengan penuh keprihatinan, saya berdoa kepada Allah SWT agar semua rakan kita yang ditahan dibebaskan secepat mungkin, dan agar saluran bantuan kemanusiaan untuk saudara-saudara kita di Gaza serta seluruh bumi Palestin dapat disampaikan tanpa sekatan,” katanya.
Sebanyak 10 kapal membawa 23 rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF ke Gaza.
Sehingga 7.50 pagi tadi (waktu Malaysia), 12 rakyat negara ini ditahan tentera Israel selepas kapal mereka memasuki zon merah R3, kira-kira 100 batu nautika dari Gaza malam tadi.
Susulan itu, dilaporkan lima lagi rakyat Malaysia ditahan di perairan Gaza setakat 2 petang tadi, menerusi paparan skrin perkembangan kapal delegasi di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC).
Manakala enam lagi disahkan terputus hubungan.