Ultras Malaya kecam kesilapan ‘bodoh’ FAM, sokong rayuan ke Fifa

Ultras Malaya kecam kesilapan ‘bodoh’ FAM, sokong rayuan ke Fifa

Kumpulan penyokong itu berkata maruah Malaysia serta reputasi Harimau Malaya 'dipijak dan dimalukan' susulan hukuman Fifa itu.

Kumpulan penyokong bola sepak Ultras Malaya mendesak FAM menjelaskan bagaimana ‘kesilapan teknikal’ itu boleh berlaku. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan penyokong bola sepak Ultras Malaya menyokong usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merayu hukuman yang dikenakan Fifa terhadap badan induk itu dan tujuh pemain naturalisasi negara.

Minggu lalu, Fifa mendenda FAM CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan kerana melanggar peraturan pemalsuan dan penipuan dokumen.

Dalam satu kenyataan, Ultras Malaya mengecam FAM atas apa yang dianggap sebagai kesilapan teknikal ‘bodoh’, dan berkata maruah Malaysia serta reputasi Harimau Malaya ‘dipijak dan dimalukan’ susulan hukuman Fifa itu.

Kumpulan itu juga mendesak FAM memberi penerangan apakah kesilapan teknikal yang dilakukan ketika menyerahkan dokumen pemain kepada pihak FIFA.

“Bagaimana kebodohan ini boleh berlaku?” soalnya.

“Kami menuntut pihak yang bertanggungjawab memberi penerangan dengan jujur apa sebenarnya yang berlaku.

“Walaupun kami amat kecewa dan marah dengan kebodohan kesilapan teknikal FAM, kami 100% menyokong usaha FAM membuat rayuan kepada Fifa demi memulihkan imej negara dan Harimau Malaya,” katanya.

Ultras Malaya juga mengulangi gesaan supaya Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara beri penerangan adakah permohonan serta proses kewarganegaraan tujuh pemain terlibat diurus dengan baik dan teliti.

Kumpulan itu juga menuntut pengurusan tertinggi FAM segera mendedahkan susur galur pemain terbabit dan menekankan penerangan ini penting bagi meredakan pelbagai spekulasi yang timbul.

“Penerangan ini diharap dapat memulihkan sikit sebanyak imej negara dan Harimau Malaya.

“Ketika ini rakyat dan penyokong Harimau Malaya berpecah serta berbalah mengenai isu ini akibat dari pelbagai cerita yang timbul,” katanya.

Tindakan itu berpunca daripada aksi kelayakan Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Vietnam pada 10 Jun lalu.

Dalam perlawanan tersebut tujuh pemain naturalisasi Malaysia, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano diturunkan.

Fifa berkata pihaknya menerima aduan mengenai kelayakan mereka selepas kemenangan itu, yang juga kemenangan pertama Malaysia ke atas Vietnam dalam tempoh 11 tahun.

Jawatankuasa tatatertib Fifa mendapati FAM bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib, yang berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen.

Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman berkata isu itu berpunca daripada ‘kesilapan teknikal’ oleh pegawai, manakala Pemangku Presiden Yusoff Mahadi pula menegaskan badan induk itu mengikut prosedur yang betul dan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.