STAR ancam keluar GRS jika kerjasama dengan PH

STAR ancam keluar GRS jika kerjasama dengan PH

Presiden parti Jeffrey Kitingan berkata benarkan Pakatan Harapan tanding di tujuh kerusi adalah yang paling banyak beliau boleh setujui.

Jeffrey Kitingan
Presiden STAR Jeffrey Kitingan berkata beliau akan bertemu lapan pemimpin parti GRS dalam mesyuarat majlis presiden gabungan itu malam ini bagi bincang kerjasama pilihan raya negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengancam untuk keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya gabungan pemerintah negeri itu meneruskan pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) bagi PRN akan datang.

Presiden STAR, Jeffrey Kitingan, berkata beliau akan menghadiri mesyuarat majlis presiden GRS yang dianggotai lapan pemimpin parti malam ini untuk membincangkan perkara tersebut, lapor The Star.

“Pada pandangan saya, ketika saya bertemu dengan ketua menteri (Hajiji Noor) beberapa hari lalu, mereka sudahpun buat keputusan (tentang pakatan GRS-PH). Jadi, jika mereka sudah putuskan, mesyuarat itu hanya sekadar pengesahan (kepada pakatan).

“Tetapi, jika pada saat akhir beliau (Hajiji) berkata, ‘Baiklah, kita dengar suara rakyat, kita bertanding secara solo’, maka saya akan turut serta,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Perubahan nada Kitingan itu hadir dua bulan selepas beliau menolak spekulasi bahawa STAR akan keluar GRS susulan klip tular di TikTok yang mencadangkan perkara itu jika GRS dipaksa bekerjasama dengan Barisan Nasional dan PH.

Namun, Hajiji kemudian mengumumkan bahawa gabungannya dan PH akan membentuk pakatan bagi berdepan PRN.

Kitingan, yang juga timbalan ketua menteri berkata beliau pada asalnya mencadangkan PH hanya bertanding di tujuh kerusi yang disandang parti itu dengan menggunakan logo GRS.

Beliau berkata, walaupun Majlis Tertinggi GRS pada mulanya meluluskan 15 daripada 73 kerusi DUN untuk PH, gabungan itu kini mungkin diperuntukkan 21 hingga 23 kerusi.

“Paling banyak yang boleh saya setuju ialah jika mereka (PH) kekalkan dengan tujuh kerusi,” katanya, sambil menambah bahawa semua parti GRS menggunakan logo GRS, tetapi PH enggan berbuat demikian.

Kitingan turut berkata pendirian STAR adalah berdasarkan sentimen akar umbi, dan perkara itu juga telah beliau bangkitkan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Jika GRS bertanding solo, saya ikut serta. Jika tidak, maka saya tidak boleh ikut serta kerana itu bertentangan dengan sentimen majoriti rakyat. Dan saya tidak boleh menentang mereka (rakyat),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.