Penceramah guna nombor plat palsu, pemilik asal tanggung saman RM12,600

Penceramah guna nombor plat palsu, pemilik asal tanggung saman RM12,600

Lelaki berusia 50 tahun itu licik menggugurkan satu huruf bagi mengelirukan sistem AWAS.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan menunjukkan kereta milik penceramah motivasi popular menggunakan nombor pendaftaran palsu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penceramah motivasi popular ditahan selepas dikesan menggunakan nombor pendaftaran milik kenderaan lain, yang mengakibatkan pemilik asal menanggung saman RM12,600 sejak September 2023.

Penceramah berusia 50 tahun yang mempunyai ramai pengikut di media sosial itu melakukan tindakan itu bagi mengelak sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata lelaki itu menggunakan nombor pendaftaran tulen pada bahagian hadapan kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya, namun memasang nombor plat hampir sama pada bahagian belakang dengan menggugurkan satu huruf bagi mengelirukan sistem AWAS.

“Kes ini dikesan selepas pemilik nombor pendaftaran hampir sama yang berasal dari Perlis disenarai hitam akibat saman yang bukan dilakukan olehnya.

“Pemilik asal membuat laporan selepas dikenakan tindakan senarai hitam atas kesalahan yang tidak dilakukannya dan hasil siasatan kami mendapati ia dilakukan oleh kenderaan lain yang sama jenis dan model tetapi berwarna berbeza,” katanya menurut Bernama di Stesen Penguatkuasa JPJ Kalumpang, Hulu Selangor.

Kifli berkata, melalui risikan dan siasatan, pihaknya menahan lelaki berkenaan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Behrang pada 9.30 malam, Sabtu lalu bersama kenderaan terbabit.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati nombor pendaftaran RF pada bahagian belakang kenderaan itu milik individu lain yang mempunyai 42 saman AWAS.

“Lelaki terbabit mengaku mengubah suai nombor plat belakang bagi mengelak dikesan AWAS dan semua saman itu kini telah dipindahkan semula kepada kenderaan sebenar,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu, manakala kenderaan turut disita mengikut Seksyen 64(1) akta sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.