MPV rempuh plaza tol bawa syabu 150kg

MPV rempuh plaza tol bawa syabu 150kg

Pemandu kenderaan itu merempuh palang tol sebelum meninggalkan MPV di Plaza Tol Damansara.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata dadah berkenaan disimpan dalam 150 peket bungkusan kecil. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis merampas 150kg dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM3.3 juta hasil pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang ditinggalkan seorang lelaki berhampiran Plaza Tol Damansara, dekat sini, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata sebelum itu, kira-kira 4 petang, Pasukan Peronda Lebuhraya (EMPV) Zon Tengah A1 telah mengarahkan MPV itu berhenti di KM18 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan, namun pemandunya enggan memberikan kerjasama.

“Dalam usaha melarikan diri, pemandu MPV itu merempuh palang tol sebelum meninggalkan kenderaan terbabit di lorong kanan Plaza Tol Damansara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan enam karung guni berwarna hijau dengan setiap satu mengandungi 25 peket bungkusan kecil bertulisan Cina ‘Chinese Pin Wei’, menjadikan jumlah keseluruhan 150 peket.

“Setiap peket dianggarkan seberat satu kilogram dan semuanya dipercayai mengandungi dadah jenis syabu,” katanya.

Yusri berkata, semua rampasan termasuk kenderaan terbabit dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Petaling Jaya untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, polis sedang mengesan suspek yang melarikan diri dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Nor Izzat Norezairi melalui talian 016-8289910 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.