Mahkamah Singapura halang pelikuidasi asing saman bank atas transaksi berkait 1MDB

Mahkamah Singapura halang pelikuidasi asing saman bank atas transaksi berkait 1MDB

Mahkamah Tinggi memutuskan undang-undang insolvensi rentas sempadan tidak terpakai untuk transaksi sebelum 2018, mengehadkan usaha mendapatkan semula aset dikaitkan dengan skandal 1MDB.

1mdb
Mahkamah Singapura menghalang pelikuidasi asing menyaman Standard Chartered dan BSI Bank berhubung transaksi dikaitkan dengan skandal 1MDB. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Singapura melarang pelikuidasi asing menyaman Standard Chartered dan BSI Bank berhubung transaksi didakwa ada kaitan dengan skandal 1MDB.

Keputusan itu boleh menjejaskan usaha antarabangsa untuk mendapatkan semula wang yang hilang daripada dana pelaburan negara itu.

The Straits Times melaporkan mahkamah memutuskan rangka kerja insolvensi rentas sempadan republik itu tidak boleh digunakan secara retroaktif terhadap urus niaga sebelum Akta Insolvensi, Penyusunan Semula dan Pembubaran dikuatkuasakan pada 2018.

Pelikuidasi bagi Blackstone Asia Real Estate Partners and Brazen Sky yang terpalit dalam skandal berbilion dolar itu cuba menggunakan “tuntutan pengelakan” untuk membatalkan transaksi mencurigakan serta mendapatkan semula aset.

Tetapi, Hakim Aidan Xu menolak permohonan mereka dengan merujuk Perkara 23(9) Akta Insolvensi, Penyusunan Semula dan Pembubaran 2018 yang secara jelas melarang pelikuidasi asing mencabar transaksi sebelum akta itu dikuatkuasakan, walaupun ia kelihatan meragukan.

“Itu undang-undang di Singapura. Mahkamah perlu melaksanakan apa yang ditetapkan undang-undang,” katanya.

Beliau mengakui keputusan itu menyebabkan pelikuidasi mempunyai pilihan terhad dan sebarang jalan alternatif memerlukan lebih banyak masa serta kos.

Xu turut mengakui keputusan itu mungkin kelihatan bercanggah dengan komitmen lebih luas Singapura dalam memudahkan kerjasama insolvensi rentas sempadan, tetapi Parlimen sengaja menetapkan had 2018 semasa menerima pakai Undang-undang Model.

Pelikuidasi berhujah Perkara 21 dalam undang-undang itu sepatutnya membolehkan mereka menyaman atas transaksi lampau bagi memastikan pihak terbabit skandal 1MDB dipertanggungjawabkan. Tetapi, mahkamah berpihak kepada tafsiran bank terhadap Perkara 23(9).

Xu bagaimanapun menegaskan sebarang perubahan kepada undang-undang perlu dilakukan Parlimen, bukannya mahkamah.

Pelikuidasi masih boleh meneruskan prosiding tradisional di Singapura, walaupun kaedah itu tidak menawarkan kelebihan proses yang dipermudahkan seperti dalam rejim rentas sempadan.

Pada masa sama, prosiding berasingan sedang berlangsung terhadap BSI dan beberapa pegawai bank atas dakwaan bantuan tidak jujur berhubung transaksi sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.