‘Datuk John’ didakwa miliki lebih 15,000kg minyak masak subsidi tanpa permit

‘Datuk John’ didakwa miliki lebih 15,000kg minyak masak subsidi tanpa permit

Ahmad Nizamuddin Setapa didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Bachok dan di hadapan Balai Polis Kota Bharu, tiga tahun lalu.

sindiket penyelewengan minyak datuk john
Ahmad Nizamuddin Setapa atau ‘Datuk John’ ketika ditahan reman kerana disyaki menyimpan minyak masak bersubsidi tanpa kebenaran yang sah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang digelar ‘Datuk John’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu di Kelantan atas tuduhan memiliki 15,483kg minyak masak bersubsidi tanpa kebenaran sah tiga tahun lalu.

Ahmad Nizamuddin Setapa, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan pertama, Nizamuddin didakwa memiliki minyak masak paket 1kg seberat 7,135kg di sebuah premis di Kampung Nibong, Beris, Bachok pada 22 Nov 2022, kira-kira jam 4.40 petang.

Lelaki itu juga didakwa memiliki minyak masak peket 1kg seberat 8,348 kg di hadapan Balai Polis Kota Bharu pada 24 Nov 2022, kira-kira jam 9.15 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan secara borong atau runcit minyak masak bersubsidi tanpa lesen atau permit yang sah.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama iaitu denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Muhammadi Iman Masjuri dan Timbalan Pendakwa Raya Siti Idabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua orang penjamin dan menetapkan 29 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada Isnin lalu, media melaporkan lapan individu termasuk dua anggota penguat kuasa ditahan reman kerana disyaki terbabit sindiket penyeludupan minyak masak bersubsidi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan, Azman Ismail dilaporkan berkata 11,050kg minyak masak bersubsidi dianggarkan bernilai RM27,625 dirampas dan lapan anggota sindiket, termasuk ketua sindiket dikenali ‘Datuk John’ ditahan dalam serbuan di Kota Bharu serta Pasir Puteh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.