
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata, langkah itu juga bertujuan memposisikan dirinya sebagai parti alternatif bukan Melayu dalam Perikatan Nasional (PN) khususnya di Pulau Pinang yang didominasi pengundi Cina dan India.
“Ini adalah cubaan untuk kekal relevan di mata pengundi Melayu supaya tidak hanya dilihat sebagai ‘pak turut’ PAS.
“Namun, persoalannya adakah pengundi bukan Melayu akan kembali kepada Gerakan? Sudah pasti sentimen masa kini lebih berpihak kepada DAP yang lebih diyakini pengundi Cina dan kestabilan politiknya lebih dipercayai kumpulan itu,” katanya kepada FMT.
Beliau juga melihat Gerakan berisiko kalah teruk jika bertanding menggunakan logo sendiri memandangkan ia sendiri tidak mempunyai kekuatan, susulan prestasinya pada PRU15 dan PRN sebelum ini.
Katanya, ia sukar untuk memberi sebarang kelebihan kepada Gerakan apabila realiti politik di Pulau Pinang juga kini sudah dimonopoli oleh DAP dan Pakatan Harapan (PH).
“Pada PRU15 dan PRN, mereka menumpang kekuatan jenama PN, khususnya pengaruh PAS dan Bersatu. Namun mereka hanya mampu meraih satu kerusi DUN di Kedah dan kosong di Pulau Pinang serta negeri lain.
“Ini membuktikan ia semakin merosot di Pulau Pinang berbanding zaman kegemilangannya ketika menguasai kerajaan negeri pada 1969 hingga 2008.
“Logo sendiri mungkin menambah sedikit maruah Gerakan, tetapi tidak semestinya menambah undi,” katanya.
Tambahnya, cadangan itu mungkin memberi risiko kepada PN jika parti lain dalam gabungan menuntut perkara sama, sekali gus menimbulkan perpecahan.
Manakala pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ariff Aizuddin Azlan turut senada dengan berkata Gerakan masih memerlukan kekuatan platform gabungan bersama PN jika ingin memperbaiki prestasinya.
“Gerakan mahu mewujudkan satu persepsi bahawa parti itu mampu untuk mengolah satu daya politik yang tidak terikat dengan bayang parti-parti lain.
“Namun senario hari ini berbeza kerana ia perlu platform yang substantif jika mahu mencatatkan rekod yang baik di dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Sebelum ini Ketua Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong dilaporkan bercadang menggunakan logo parti sendiri pada PRU akan datang, memandangkan PN pernah membenarkan parti komponennya berbuat demikian.
Selain Oh, pandangan sama turut disuarakan oleh Ketua Wanita Peilin Ooi Pei Nar dan Ketua Pemuda pusat, Tan Zhen Zune ketika berucap pada persidangan perwakilan Gerakan Pulau Pinang 2025.