Rampasan RM2.33 bilion, maritim patah cubaan pindah 700,000 liter diesel

Rampasan RM2.33 bilion, maritim patah cubaan pindah 700,000 liter diesel

Rampasan turut libat dua kapal tangki selain penahanan 22 kru warga Malaysia, Myanmar, Rusia, Filipina, dan Indonesia di perairan Bagan Ajam.

Dua kapal tangki disyaki sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran. (Gambar maritim)
PETALING JAYA:
Maritim Pulau Pinang mematahkan cubaan memindahkan 700,000 liter minyak diesel secara haram susulan penahanan dua kapal tangki dengan nilai rampasan mencecah RM2.33 bilion.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata 22 kru terdiri daripada warga Malaysia, Myanmar, Rusia, Filipina, dan Indonesia yang berada di atas kedua-dua kapal itu turut diberkas, dalam operasi di perairan Bagan Ajam, malam tadi.

“Pemeriksaan mendapati, kedua-dua kapal berada dalam keadaan bergandingan dan disyaki sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan.

Suffi berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti tersebut melibatkan pemindahan minyak diesel Euro 5 dengan anggaran 700,000 liter, manakala keseluruhan rampasan minyak dianggarkan mencecah 800,000 liter.

Nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM2.33 bilion, menjadikan kes ini antara tangkapan berprofil tinggi di perairan negara tahun ini.

Nilai tersebut merangkumi kedua-dua kapal tangki yang telah disita masing-masing bernilai RM2.32 billion dan RM2.89 juta serta muatan diesel Euro 5 yang cuba diseludup dianggarkan bernilai RM5.43 juta.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal tanpa kebenaran ketua pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Kesalahan ini boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 ke atas setiap vesel,” katanya.

Katanya, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Kastam 1967 berikutan kegagalan mengemukakan dokumen berkaitan pemindahan minyak serta pengisytiharan kargo.

Beliau berkata, kru dan kapal yang ditahan kemudiannya dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, APMM Malaysia akan terus memperketat rondaan dan pemantauan di perairan negara bagi membanteras aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.