
“Ini kerana setiap parti politik mempunyai mekanisme bagi menyelesaikan permasalahan mereka,” katanya kepada FMT.
Semalam, Wan Saiful mendakwa Azmin tidak layak menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi ‘video melampau’ didakwa membabitkan dirinya belum selesai kerana skandal moral tidak boleh diterima dalam parti itu.
Pada 2019, beberapa klip video tular didakwa menunjukkan Azmin bersama seorang lelaki melakukan perbuatan homoseksual di Hotel Four Points, Sandakan, Sabah.
Haziq Aziz, ketua Pemuda PKR Santubong ketika itu mengeluarkan rakaman pengakuan dengan menamakan dirinya dan Azmin sebagai dua lelaki dalam klip video terbabit.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Sanusi Nor enggan mengulas lanjut berhubung isu dalaman Bersatu.
“Tak nak (masuk) campur hal rumah tangga mereka (Bersatu),” kata menteri besar Kedah itu.
Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar yang senada berkata, parti Islam itu tidak pernah mengajar ahli atau pemimpinnya mencampuri urusan parti lain.
Beliau berkata, PN perlu memberi keutamaan untuk menyelesaikan isu rakyat.
“PN akan terus diperkukuhkan tidak kira apa isu dalaman dan cabaran luar yang menghimpit parti komponennya kerana isu rakyat adalah keutamaan,” katanya kepada FMT.