Tertembak rakan, 3 lelaki ditahan selepas mayat ditemukan di tepi jalan

Tertembak rakan, 3 lelaki ditahan selepas mayat ditemukan di tepi jalan

Kejadian dipercayai berlaku kerana mangsa disangkakan haiwan buruan semasa mereka berburu di Batu Caves pada Ahad.

Noor Hisam Nordin
Polis turut merampas beberapa kenderaan, senapang buatan sendiri dan peluru, serta empat telefon bimbit berhubung penemuan mayat dengan kesan tembakan di Semanggol, kata Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga lelaki ditahan susulan penemuan mayat dengan kesan tembakan di Kampung Selamat, Semanggol, semalam.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata, dua lelaki berusia 32 dan 33 tahun ditahan di Kampung Selamat, Semanggol pada 12.30 tengah hari semalam, manakala seorang lagi suspek berusia 36 tahun ditahan di Batu Caves 8.30 malam hari sama. Salah seorang suspek ditahan dipercayai mempunyai pertalian saudara dengan mangsa berusia 43 tahun itu.

Menurutnya, polis turut giat mengesan seorang lagi suspek dipercayai turut terlibat.

Berhubung penemuan mayat itu, Noor Hisam berkata, IPD Kerian menerima panggilan daripada orang awam pada 3.55 pagi, memaklumkan seorang individu ditemukan meninggal dunia.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesan di bahagian belakang badan mangsa disyaki akibat terkena tembakan dan proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Taiping esok,” katanya, lapor Harian Metro.

Noor Hisam berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kerana mangsa disangkakan haiwan buruan semasa mereka berburu di Batu Caves kira-kira 8 malam Ahad.

Selepas kejadian, kesemua suspek sepakat membawa mangsa ke Semanggol menggunakan sebuah kenderaan dengan diiringi dua kenderaan lain, tambahnya.

“Mangsa ditinggalkan di tepi jalan tidak berturap untuk mencipta cerita lain daripada kejadian sebenar,” katanya.

Noor Hisam berkata, polis merampas kenderaan Toyota Vellfire, Mazda dan Toyota Hilux, dua laras senapang buatan sendiri, 11 butir peluru 12 Bore serta empat telefon bimbit.

Tiga suspek itu direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tambahnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kerian Ambri Mat Nayan menerusi talian 012-5306567 atau IPD Kerian 05-7215222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.