Pulau Carey jadi ‘makmal hidup’ pelajar fahami ekosistem pesisir pantai

Pulau Carey jadi ‘makmal hidup’ pelajar fahami ekosistem pesisir pantai

Pelajar dari 29 universiti ke pulau itu sebagai sebahagian Cabaran Adaptasi dan Ketahanan Banjir Pesisir (COFAR).

carey island
Program COFAR di Pulau Carey memberi pelajar pengalaman baru melihat alam semula jadi menangani perubahan persekitaran.
PETALING JAYA:
Seramai 219 pelajar mewakili 29 universiti dari seluruh negara menyertai lawatan ke Pulau Carey, Banting, baru-baru ini untuk melihat keadaan sebenar ekosistem pesisir pantai dan mempelajari cara melindunginya.

Sepanjang ekspedisi berlangsung 11 Sept lalu pelajar yang dibahagikan kepada 38 kumpulan peserta tersebut diberi peluang memahami fungsi sistem pengurusan air berdaya tahan di pulau itu, termasuklah benteng tambakan, pemantauan paras air serta ekosistem hutan bakau.

Kesemuanya saling melengkapi bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada Cabaran Adaptasi dan Ketahanan Banjir Pesisir (COFAR) iaitu program yang menekankan kepentingan mencari penyelesaian terhadap cabaran banjir di pesisir pantai.

Program terbabit dianjurkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan kerjasama ICAEW Malaysia, Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI-Universiti Kebangsaan Malaysia) dan SD Guthrie Bhd (Guthrie) sebagai rakan teknikal.

Ogos lalu, pelajar terbabit telah menyertai webinar untuk mempelajari aspek adaptasi iklim di Malaysia dan bagaimana pembiayaan kewangan serta inovasi boleh membantu.

Susulan lawatan ke Pulau Carey, setiap kumpulan peserta dikehendaki menghantar cadangan komprehensif dan video pembentangan penyelesaian pada Oktober sebagai sebahagian daripada tugasan cabaran tersebut.

Peringkat akhir dijangka berlangsung November sempena Sidang Kemampanan Serantau ICAEW-Asean’ sebelum keputusan rasmi diumumkan pada Persidangan Tahunan Pasaran Modal Asean (ACMF) 2025.

Hadiah wang tunai RM25,000 menanti pasukan dengan cadangan terbaik manakala tempat kedua RM15,000 dan ketiga RM10,000.

Menurut Guthrie, cabaran itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar universiti menghasilkan cadangan praktikal untuk menangani masalah banjir pesisir dengan menumpukan kepada penyesuaian iklim dan daya tahan komuniti.

Ketua Inovasi dan Penyelidikan Guthrie, David Ross Appleton, berkata, “Bagi Guthrie, Cabaran COFAR bukan sekadar satu pertandingan. Ia menegaskan peranan Pulau Carey sebagai ‘makmal hidup’ bagi usaha adaptasi iklim. Di pulau ini, alam semulajadi, inovasi dan kerjasama manusia bergabung membentuk penyelesaian bagi menangani masalah kritikal yang melanda dunia hari ini,” katanya.

Appleton menambah pengalaman Guthrie dalam pengurusan air, pemuliharaan biodiversiti dan penjagaan ekosistem di Pulau Carey seiring dengan matlamat COFAR.

Beliau menegaskan usaha menghadapi perubahan iklim memerlukan idea berani, kerjasama pelbagai pihak dan penyelesaian praktikal seperti yang ditunjukkan di Pulau Carey.

Pemenang pertandingan cabaran tersebut bukan sahaja akan diraikan tetapi lebih penting lagi akan membantu merangka pelan adaptasi kawasan pesisir di Malaysia ketika paras laut naik dan cuaca semakin sukar dijangka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.