PRN Sabah: Penganalisis saran DAP fokus kerusi bandar

PRN Sabah: Penganalisis saran DAP fokus kerusi bandar

Bilcher Bala memberi amaran cadangan bertanding di kerusi penyandang berpengaruh dari sekutunya GRS boleh disalah tafsir.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dipetik berkata parti itu sasar dua kerusi DUN di pedalaman pada PRN Sabah.
PETALING JAYA:
DAP wajar tumpu kepada kerusi bandar berbanding kawasan pedalaman, yang sebahagiannya disandang tokoh berpengaruh dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – rakan kerjasamanya pada PRN akan datang, menurut penganalisis.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberi amaran tindakan berterusan menuntut kerusi disandang sekutu boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan hubungan, malah berisiko membawa kekalahan.

Beliau memberi contoh cadangan meletakkan bekas Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual dari Pakatan Harapan (PH) di DUN Kemabong yang kini disandang Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Rubin Balang.

Rubin mewakili kerusi itu sejak 1994 kecuali pada PRU 2018 kerana tidak dicalonkan Barisan Nasional (BN).

Beliau kembali bertanding di kerusi itu pada PRN ke-16 lima tahun lalu dan menang atas tiket bebas sebelum menyertai PGRS.

“Rubin ialah tokoh tempatan berakar umbi dan sebarang cabaran terhadap beliau mungkin dianggap sebagai tindakan luar yang tidak sensitif terhadap dinamika politik tempatan.

“Jika DAP bertanding menentang penyandang GRS, ia boleh dilihat sebagai pelanggaran semangat kerjasama serta menjejaskan persepsi perpaduan,” kata Bilcher kepada FMT.

Minggu lalu, media melaporkan DAP mengenal pasti sekurang-kurangnya dua kerusi DUN di kawasan pedalaman yang berpotensi ditandingi pada PRN, selain menyatakan hasrat untuk bertanding di DUN Tanjung Aru.

Kemabong dikatakan satu daripada kerusi terbabit dan bulan lalu, DAP serta PKR Tenom menggesa pimpinan PH mencalonkan Noorita di kerusi tersebut.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata hasrat bertanding di pedalaman bukan sekadar percubaan, sebaliknya berdasarkan pengalaman dan rekod parti, memandangkan DAP pernah bertanding di DUN Bingkor pada PRN 2020.

Lee Kuok Tiung juga dari UMS turut sependapat DAP harus memberi fokus kepada kerusi bandar berbanding luar bandar memandangkan persaingan sengit dijangka berlaku pada PRN kali ini.

Merujuk kepada kerusi Kemabong yang terletak di pedalaman, Lee berkata: “Jangan lupa Rubin menang atas tiket calon bebas. Bermakna beliau ada pengaruh peribadi yang kuat.”

Tanding kerusi pedalaman untuk hakis imej parti Cina bandar

Sementara itu, penyelidik Borneo Geo-Politics & Electoral Studies (GeoPES), Syahrudin Awang Ahmad berpendapat walaupun Loke cuba bersikap realistik terhadap hasrat DAP bertanding di pedalaman, usaha menawan kerusi kawasan itu tetap mencabar, seperti yang berlaku di Bingkor.

Pada PRN 2020, calon DAP, Peter Saili, yang bertanding atas tiket Warisan, tewas dengan majoriti lebih 5,000 undi kepada Robert Tawik dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

“Kerusi pedalaman Sabah secara tradisi dikuasai parti tempatan yang berorientasikan etnik dan kurang menerima mesej nasionalis DAP.

“Cabaran bakal dihadapi DAP adalah logik memandangkan kekurangan jentera akar umbi yang kukuh serta kesukaran menembusi sokongan padu dinikmati GRS melalui parti komponennya seperti STAR,” kata Syahrudin.

Bagaimanapun, Syahrudin berpandangan di sebalik tumpuan diberikan kepada kawasan bandar, DAP tidak boleh mengabaikan imej sebagai parti pelbagai kaum jika ingin menawan lebih banyak kerusi di Sabah.

Justeru, menurutnya, parti nasional itu wajar mengintai secara selektif kerusi pedalaman disandang calon lemah atau memilih DUN tiada pertembungan dengan GRS untuk meningkatkan peluangnya.

“Jika DAP hanya memfokuskan kawasan bandar, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa parti itu tidak serius menjadi parti berbilang kaum yang sebenar di Sabah.

“Ia akan mengukuhkan lagi label DAP sebagai parti Cina bandar dan mengehadkan pertumbuhan jangka panjangnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.