PRN Sabah: Ingin terus legasi bapa, Priscella tanding DUN Melalap

PRN Sabah: Ingin terus legasi bapa, Priscella tanding DUN Melalap

Pemangku presiden KDM itu bertanding untuk pertahankan kerusi ayahnya, Peter Anthony yang kini berdepan hukuman penjara.

Priscella Peter
Priscella Peter memangku jawatan presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sejak Mac lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemangku Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Priscella Peter mengesahkan bertanding DUN Melalap pada PRN Sabah.

Keputusan itu dibuat bukan sekadar untuk mengekalkan kerusi yang disandang ayahnya Peter Anthony sejak 2018, tetapi juga untuk meneruskan usaha pembangunan yang belum selesai di kawasan terbabit.

“Ia bukan tugas mudah, tetapi semangat ayah sentiasa bersama saya dan rakyat Melalap.

“Saya bertanding bukan semata-mata kerana ayah tetapi demi rakyat yang masih mengharapkan pembangunan berterusan,” kata Priscella dalam kenyataan.

Beliau menegaskan rakyat Melalap masih mengingati keprihatinan ayahnya yang pengaruhnya masih kuat.

“Apabila saya turun ke kawasan, mereka masih bercakap mengenai kebaikan ayah. Ini membuktikan beliau telah menjalankan tugas dengan baik,” tambahnya.

Peter yang sebelum ini bertanding atas tiket Warisan, memenangi kerusi DUN Melalap pada PRU14 dan PRN16 dengan majoriti meningkat, sebelum meninggalkan Warisan untuk menubuhkan KDM pada awal 2022.

Pada 4 Mac lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 ke atas Peter kerana memalsukan dokumen kontrak kerja di Universiti Malaysia Sabah (UMS) 11 tahun lepas.

Priscella berkata, kontroversi itu tidak akan menghalangnya untuk meneruskan legasi ayahnya dan memastikan pembangunan Melalap diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.