PAS P Pinang hormat keyakinan Gerakan guna logo sendiri PRU16

PAS P Pinang hormat keyakinan Gerakan guna logo sendiri PRU16

Ketua Penerangan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata langkah itu sebagai 'manifestasi kematangan politik'.

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, berkata partinya ‘hormati pendirian serta keyakinan Gerakan’. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PAS Pulau Pinang mengambil langkah ‘diplomasi’ apabila menyokong tekad Gerakan negeri menggunakan logonya berdepan PRU16.

Kelmarin, pada mesyuarat agung tahunan Gerakan negeri, Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Tan Zhen Zune berkata, parti itu tidak seharusnya berdiam diri apabila berdepan kenyataan sinis daripada pemimpin PAS.

Tan mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pulau Pinang Hafis Alias mengkritik Gerakan antaranya mendakwa Ketua PN Pulau Pinang Dominic Lau, yang juga presiden Gerakan, lemah dari segi kepimpinan dan gagal menyatukan Bersatu serta PAS pada peringkat negeri.

Hafiz berkata demikian pada Muktamar PAS baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS negeri, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, berkata parti itu yakin titik temu tetap mampu dicapai antara rakan gabungan Perikatan Nasional (PN) khususnya mengembalikan kesejahteraan rakyat walaupun penggunaan logo berbeza.

“PAS Pulau Pinang meraikan sebarang tindakan yang mungkin meningkatkan kepercayaan rakyat selagi mana komponen dalam PN tetap menjaga persefahaman, kesatuan hati, dan hala tuju perjuangan.

“Bahkan tindakan menggunakan logo parti ini telah terbukti menjadi senjata ampuh di beberapa buah negeri pada PRU15,” katanya dalam kenyataan.

Fawwaz turut melihat langkah itu sebagai manifestasi kematangan politik dalam blok pembangkang yang meraikan kepelbagaian serta memperkukuhkan lagi semangat kerjasama strategik demi kepentingan rakyat.

“Ia adalah hak parti berasaskan strategi politik masing-masing. PAS menghormati pendirian serta keyakinan Gerakan dalam menampilkan identiti sendiri di mata rakyat Pulau Pinang khususnya, dan Malaysia amnya,” katanya.

Kelmarin, Ketua Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong dilaporkan bercadang menggunakan logo parti sendiri pada PRU akan datang.

Beliau yang juga timbalan presiden Gerakan, berkata diharap pimpinan parti dapat memohon kebenaran supaya Gerakan negeri bertanding menggunakan logo sendiri, memandangkan PN pernah membenarkan parti komponennya berbuat demikian.

Selain Oh, pandangan sama turut disuarakan oleh Ketua Wanita Peilin Ooi Pei Nar dan Ketua Pemuda pusat, Tan Zhen Zune ketika berucap pada persidangan perwakilan Gerakan Pulau Pinang 2025 itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.