Nahas tol Kajang: Kertas siasatan dirujuk kepada TPR

Nahas tol Kajang: Kertas siasatan dirujuk kepada TPR

Polis rakam keterangan tujuh saksi untuk bantu siasatan.

Naazron Abdul Yusof
Suspek, iaitu pemandu lori terbabit, akan dibebaskan dengan jaminan polis esok sehingga semua laporan dan analisa diterima, kata Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kertas siasatan kes kemalangan maut mengorbankan seorang bayi di Plaza Tol Bukit Kajang telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof berkata, tujuh saksi sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada TPR dan suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis esok sehingga semua laporan dan analisis diterima,” katanya, merujuk pemandu lori yang direman hingga esok.

Tambahnya, pihaknya bersama agensi berkaitan sedang meneliti tindakan terhadap majikan pemandu lori itu.

Naazron berkata, lori terbabit akan diperiksa Jabatan Kimia dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) pada 2 Okt.

Dalam kejadian Sabtu lepas, seorang bayi lelaki berusia 16 bulan maut di tempat kejadian setelah tercampak keluar dari kenderaan dinaikinya dan tersepit di bawah kenderaan lain.

Lapan lagi mangsa terlibat dalam nahas membabitkan sebuah lori, dua SUV dan sebuah kereta itu cedera.

Naazron hari ini berkata, seorang mangsa telah dibenarkan keluar dari hospital semalam, manakala seorang lagi masih menerima rawatan di Hospital Kajang.

Seorang lagi mangsa, seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dipindahkan ke Hospital Putrajaya, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.