Lihat kehadiran Trump dalam konteks politik antarabangsa, kata Saifuddin

Lihat kehadiran Trump dalam konteks politik antarabangsa, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri akui tiada pihak setuju dengan tindakan presiden AS itu menyokong kekejaman Israel.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail meminta semua pihak tidak melihat kehadiran Donald Trump pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 dari sudut polemik semasa.
PUTRAJAYA:
Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 perlu dilihat dalam konteks politik serantau, bukannya polemik semasa, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, Trump hadir Sidang Kemuncak Asean dalam konteks politik antarabangsa.

“Yang menjadi polemik kerana datang seorang yang namanya Trump. Tidak ada siapa pun bersetuju dengan Trump (sokong Israel).

“Jadi, kehadiran dia dalam konteks politik antarabangsa…Sekarang kita jadi pengerusi Asean dan perdana menteri pun dah jelaskan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menempelak pihak mempertikaikan jemputan kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean di ibu negara bulan depan.

Anwar dilaporkan berkata, Malaysia akan menggunakan platform diplomasi untuk terus menyuarakan isu Palestin.

Katanya, Malaysia perlu bijak berunding dan mengekalkan suara tegas dalam mempertahankan kebenaran, namun dengan cara berstrategi.

Saifuddin berkata, sebagai pengerusi Asean, Malaysia membawa suara konsensus 10 negara anggota dan Anwar merupakan wakil rantau Asia.

Menurutnya, kehadiran Trump memberi peluang kepada Malaysia dan Asean untuk menyuarakan pendirian tegas terhadap dasarnya menyokong kekejaman, termasuk terhadap rakyat Palestin.

“Jihad paling besar ialah berkata benar di hadapan pemerintah zalim. Kalau kita tidak ‘engage’, bagaimana kita nak sampaikan mesej.”

Sebelum ini, ada pihak membantah jemputan untuk Trump menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 di ibu negara bulan depan susulan sokongan AS terhadap kekejaman Israel di Palestin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.