Lelaki disyaki cekik mati isteri

Lelaki disyaki cekik mati isteri

Warga Myanmar itu dipercayai membunuh pasangannya berusia 28 tahun.

Abang Zainal Abidin Abang Ahmad
Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lelaki warga Myanmar ditahan kerana disyaki membunuh isteri di sebuah rumah di Kampung Kuala Kuang, Chemor, hari ini.

Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata suspek berusia 37 tahun itu ditahan pada 3.40 petang selepas polis menemui isterinya yang tidak sedarkan diri di rumah berkenaan.

“Sebelum itu, polis menerima panggilan kira-kira 12.30 tengah hari daripada seorang lelaki yang memaklumkan terdapat seorang wanita warga Myanmar berusia 28 tahun tidak sedarkan diri lokasi itu dan meminta bantuan bagi menghubungi ambulans.

“Susulan itu, sepasukan anggota polis dari IPD Ipoh telah ke tempat kejadian dan hasil siasatan awal mendapati wanita itu telah meninggal dunia serta terdapat kesan cekik di leher mangsa,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.