
Pengarahnya, Mohd Mufsi Lat berkata, dalam operasi 3.45 pagi itu, lapan lelaki Indonesia berusia 20an hingga 60an dipercayai pekerja kapal turut ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, pihaknya menjalankan risikan selama lima bulan bagi mengesan sindiket yang membeli minyak diesel daripada kapal di perairan Laut China Selatan serta kapal yang berlabuh di jeti, sebelum menjualnya secara haram di pasaran gelap.
“Enam pegawai KPDN bersama lapan pegawai serta anggota polis melaksanakan operasi bersepadu bagi membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi,” katanya pada Program Pelupusan Ekshibit Perdana KPDN Terengganu hari ini.
“Berdasarkan maklumat awal, sindiket ini membeli minyak diesel daripada kapal di Laut China Selatan dan di jeti menggunakan paip getah serta pam kargo, sebelum dijual di pasaran gelap.”
Mohd Mufsi berkata, pemeriksaan turut menemukan tiga tangki penimbang kapal yang sepatutnya berisi air, namun diubah suai untuk menyembunyikan diesel.
Kapal terbabit juga tidak memiliki sebarang lesen atau permit daripada pegawai bekalan untuk menyimpan atau berurus niaga barang kawalan, tambahnya.
Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-dua sekali.