‘Silap’ rujuk undang-undang, Armizan pesan Wee jangan kelirukan rakyat

‘Silap’ rujuk undang-undang, Armizan pesan Wee jangan kelirukan rakyat

Menteri KPDN itu berkata, beliau rujuk PPKB, manakala presiden MCA itu 'ulas panjang lebar' mengenai Akta Kawalan Bekalan.

armizan ali gas
Pada Khamis, Menteri KPDN Armizan Mohd Ali umum Jemaah Menteri setuju benar perniagaan kecil terus guna tong LPG bersubsidi tanpa permit sehingga Oktober. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Armizan Mohd Ali menegur Presiden MCA Wee Ka Siong agar tidak mengelirukan rakyat dengan ‘tersilap merujuk undang-undang’ berhubung tong silinder gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.

Armizan menegaskan, beliau dengan jelas menyatakan bahawa Op Gasak, bertujuan membanteras kegiatan penyiringan dan penggunaan silinder LPG secara haram, dilaksanakan oleh kementeriannya bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021.

“Namun undang-undang yang presiden MCA ulas panjang lebar pula adalah Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) (2021). Memang tidak jumpa peruntukan undang-undang yang saya maksudkan sebab saya sebut A, beliau rujuk Z.

“Saya merayu janganlah kelirukan rakyat dengan rujukan kepada undang-undang yang saya tidak sebut,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas hantaran Wee di media sosial yang menunjukkan beberapa dokumen untuk ‘membuktikan’ tiada syarat perniagaan memohon permit untuk menggunakan lebih tiga tong silinder LPG.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Wee tidak bersuara membantah pindaan peraturan kawalan bekalan itu pada 2021, ketika Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam seorang menteri.

Pada Khamis, Armizan mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju membenarkan perniagaan kecil terus menggunakan tong LPG bersubsidi tanpa memerlukan permit sehingga Oktober.

Pengecualian itu akan terus berkuat kuasa sehingga pindaan kepada PPKB dimuktamadkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.