Kehadiran Trump bukan soal pengiktirafan dasar peribadi, kata PMO

Kehadiran Trump bukan soal pengiktirafan dasar peribadi, kata PMO

Setiausaha akhbar kanan perdana menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata prinsip diplomasi menuntut Malaysia menyuarakan kebenaran secara berdepan dan bukan mengelak.

Tunku Nashrul Abaidah
Tunku Nashrul Abaidah berkata pendirian Malaysia mengenai Palestin tidak pernah berubah malah jelas, tegas dan konsisten sejak dahulu.
PETALING JAYA:
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menegaskan kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 tiada kaitan dengan dasar peribadi tetapi pengiktirafan kepada Asean dan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi.

Menyifatkan ia sebagai sebahagian daripada mandat diplomasi, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata pendirian Malaysia mengenai Palestin tidak pernah berubah malah jelas, tegas dan konsisten sejak dahulu.

Katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim antara suara paling lantang di dunia dalam membela Gaza, mengecam kekejaman Israel serta mengetuai suara moral umat Islam di pentas antarabangsa, yang turut pernah diluahkan di hadapan bekas presiden AS sebelum ini.

“Maka menolak kedatangan Trump ke ASEAN bukanlah jalan penyelesaian. Prinsip diplomasi menuntut kita menyuarakan kebenaran secara berdepan, bukan mengelak.

“Dengan cara ini, Malaysia bukan sahaja menzahirkan solidariti kepada Gaza, tetapi juga menunjukkan kebijaksanaan sebagai tuan rumah yang berani, tegas dalam prinsip, dan matang dalam diplomasi,” katanya dalam taklimat harian PMO.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menempelak pihak mempertikaikan jemputan kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean di ibu negara bulan depan, sambil menegaskan Malaysia akan menggunakan platform diplomasi untuk terus menyuarakan isu Palestin.

Katanya, Malaysia perlu bijak berunding dan mengekalkan suara tegas dalam mempertahankan kebenaran, namun dengan cara berstrategi.

Sebelum ini, ada pihak membantah jemputan untuk Trump menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 di ibu negara bulan depan susulan sokongan AS terhadap kekejaman Israel di Palestin.

Tunku Nashrul turut memaklumkan Anwar sentiasa memantau rapat misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang kini telah memasuki zon kuning dan berisiko berdepan ancaman daripada Israel.

Katanya, Anwar turut mendesak agar laluan kemasukan bantuan ke Gaza tidak dihalang oleh mana-mana pihak kerana sebarang halangan hanya akan menambah derita penduduk yang sudah pun berada dalam keadaan kritikal.

“Pada masa yang sama, beliau menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu hati mendoakan keselamatan serta menyalurkan sokongan berterusan kepada usaha kemanusiaan yang murni ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.