Polis maklum penutup ‘manhole’ dalam keadaan baik, kata JKR

Polis maklum penutup ‘manhole’ dalam keadaan baik, kata JKR

Jabatan itu ulas tragedi murid Tahun Tiga Abdul Fatah Khairol Rizal meninggal dunia selepas jatuh dalam saluran pembetung di kawasan sekolah.

Penutup lubang utiliti (manhole) yang diambil bagi tujuan siasatan juga masih berada dalam keadaan baik, sempurna, dan tiada sebarang kecacatan ditemui, kata JKR dalam kenyataan. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Hasil pemeriksaan di tapak tragedi seorang murid terjatuh dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai, mendapati sistem rawatan kumbahan kecil (SSTS) berada dalam keadaan baik.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan, berkata polis memaklumkan penutup lubang utiliti (manhole) yang diambil bagi tujuan siasatan juga masih berada dalam keadaan baik, sempurna, dan tiada sebarang kecacatan ditemui.

“Jabatan ini memandang serius insiden tersebut dan telah menghantar pasukan JKR negeri ke lokasi pada 5.30 petang, hari yang sama, bagi meninjau keadaan dan menjalankan siasatan awal.

“JKR Malaysia bersimpati dan amat berdukacita dengan kejadian yang berlaku di sekolah berkenaan sehingga meragut nyawa seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” menurut kenyataan itu.

JKR Malaysia turut menasihati orang awam agar menghormati siasatan yang sedang dilaksanakan pihak berkuasa, manakala jabatan itu sentiasa bersedia memberi kerjasama penuh kepada polis bagi membantu melancarkan proses siasatan.

Dalam pada itu, orang awam juga diminta sentiasa berwaspada dan segera melaporkan kepada JKR Malaysia sebarang aduan atau kerosakan aset awam yang boleh membahayakan keselamatan, menurut kenyataan sama.

Sabtu lalu, murid Tahun Tiga, Abdul Fatah Khairol Rizal, meninggal dunia selepas terjatuh dalam saluran pembetung di kawasan sekolah berkenaan dan semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya mengambil tanggungjawab penuh untuk menyiasat secara terperinci tragedi itu.

Beliau berkata, laporan lengkap hasil siasatan akan dikemukakan segera untuk tindakan lanjut, sekali gus memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.