
Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) berkata, pada masa ini, hanya kanak-kanak warganegara berusia tujuh tahun ke atas yang bersekolah di sekolah kebangsaan layak menerima rawatan di hospital kerajaan dengan bayaran nominal RM1.
“Kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun perlu menanggung kos penuh rawatan yang boleh mencecah ribuan ringgit,” kata Pengarah Urusan NCSM Dr Murallitharan Munisamy kepada FMT.
Menurutnya, NCSM telah menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara itu sejak 2016, namun dimaklumkan ia di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.
“Justeru, kami merayu agar (Kementerian Kewangan) memansuhkan caj-caj ini,” katanya menambah, impak kewangan terhadap kerajaan dijangka minimal.
Murallitharan berkata, kos perubatan yang tinggi membebankan ibu bapa muda, khususnya daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Kos tinggi ini menjadi antara faktor sesetengah ibu bapa tidak mendapatkan atau meneruskan rawatan untuk anak-anak mereka, sekali gus membawa kepada hasil klinikal yang sangat buruk, termasuk kematian.”
Berhubung perkara berasingan, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) menggesa peruntukan lebih tinggi bagi penjagaan pediatrik dalam belanjawan persekutuan, meliputi penjagaan primer dan perkhidmatan pencegahan.
Menurut persatuan itu, walaupun kadar kematian kanak-kanak berusia bawah lima tahun dan bayi tidak banyak berubah, pelaburan bersasar dalam penjagaan primer mampu mengurangkan kos rawatan hospital yang mahal serta meningkatkan kesaksamaan.
MPA turut meminta dana tambahan bagi meluaskan kapasiti penjagaan kritikal neonatal dan pediatrik, dengan tumpuan pada saringan bayi baru lahir serta penubuhan lebih banyak pusat jagaan kritikal.
“Penjagaan kritikal yang segera boleh menyelamatkan nyawa dan mengurangkan hilang upaya jangka panjang,” katanya.
“Kapasiti sedia ada tidak padan dengan keperluan luar bandar dan bandar. Pelaburan hari ini akan mengurangkan kos penjagaan kronik pada masa depan.”
Persatuan itu juga menggesa lebih banyak insentif dan kenaikan elaun ‘on-call’ dalam belanjawan untuk menangani masalah kekurangan pakar dan kadar susutan pekejra yang tinggi, menjejaskan kualiti serta akses perkhidmatan.
Tambahnya, insentif pengekalan akan lebih menjimatkan kos bagi kerajaan berbanding perbelanjaan untuk pengambilan lokum berulang kali dan rujukan ke hospital swasta.
MPA turut menggesa kerajaan agar memperluas rawatan perubatan bersubsidi kepada semua kanak-kanak bukan warganegara, setara dengan kanak-kanak Malaysia, dalam belanjawan akan datang.
Rombak sistem rujukan, tambah dana pembangunan
Murallitharan turut menggesa agar proses rujukan pesakit Malaysia dari fasiliti kesihatan swasta atau NGO ke hospital kerajaan dibaharui, memandangkan mereka sering diklasifikasikan sebagai pesakit ‘swasta’ dan dikenakan caj rawatan lebih tinggi.
“Amalan ini sangat tidak adil, memudaratkan rakyat Malaysia dan seolah-olah mempersendakan sistem perkongsian awam-swasta,” tegasnya.
Beliau turut menggesa agar perbelanjaan kesihatan dalam belanjawan persekutuan dinaikkan kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sejajar dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Mengambil maklum cabaran mendapatkan dana tambahan, Murallitharan mencadangkan agar kerajaan meneliti sumber hasil alternatif, termasuk skim insurans kesihatan kebangsaan yang dicadangkan KKM dalam kajiannya mengenai pembiayaan kesihatan.
Sementara itu, MPA menyarankan kerajaan mendapatkan geran antarabangsa daripada WHO dan Unicef bagi membiayai inisiatif-inisiatif yang dicadangkan.