
Keputusan PH untuk bekerjasama dengan Sabah Barisan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah akan menyebabkan situasi rumit, kerana tiga gabungan itu akan bertembung di beberapa kawasan, kata Ketua Wanita MCA Sabah, Dr Pamela Yong.
“Malah, pertelingkahan sudah pun bermula,” katanya kepada FMT, dan menambah ada risiko pertembungan lima atau enam penjuru di beberapa kawasan.
“Dalam kes sedemikian, calon daripada pihak kerajaan — sama ada GRS, BN, atau PH — hanya akan memecahkan undi masing-masing, manakala pembangkang akan menampilkan barisan yang lebih padu.”
Yong mengulas kenyataan Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail, yang mempertahankan keputusan gabungan itu untuk bekerjasama dengan GRS dan BN pada PRN akan datang.
Saifuddin menolak gesaan seorang pemimpin Umno Sabah agar PH memilih sama ada GRS atau BN, mengatakan setiap parti politik mempunyai kebebasan dan budi bicara untuk memilih sekutu pilihan raya.
Yong berkata pakatan PH dengan BN dan GRS juga boleh memberi masalah kepada Bung Mokhtar Radin, pengerusi Sabah BN, terutama semasa kempen.
Beliau tertanya PH akan berkempen untuk BN atau GRS sekiranya dua parti itu bertembung.
“Adakah mereka akan berdiri di pentas ceramah BN, mengumpulkan undi untuk calon BN, dan kemudian menyelinap untuk berkempen bagi calon GRS?” soalnya.
Beliau juga berkata PH mungkin akan mendapati dirinya berada di tengah-tengah ‘perang mulut’ antara GRS dan BN, yang mungkin memaksa ia mengawal kerosakan.
Jika PH terperangkap, Yong percaya ia boleh menyebabkan mereka kurang fokus pada kempen.
“Itulah balasan kerana main dua kolam.
“Walaupun menguruskan hubungan rumit ini adalah wajar, ia tidak boleh alih tumpuan daripada kempen. Jika dibiarkan tidak selesai, ia pasti akan memberi manfaat kepada pembangkang,” katanya.
Yong berkata tidak cukup sekadar bersetuju secara prinsip untuk ‘bekerjasama’, untuk memenangi pilihan raya,
Beliau berkata hal sukar seperti pembahagian kerusi dan cara jentera pilihan raya digerakkan secara terselaras dan bersasaran adalah penting.
“Berdasarkan apa yang saya perhatikan, pembangkang nampaknya lebih terancang dan bersatu pada peringkat ini,” katanya.