8 dilantik ahli jawatankuasa bebas siasat letupan paip gas Putra Heights

8 dilantik ahli jawatankuasa bebas siasat letupan paip gas Putra Heights

Exco Selangor Mohd Najwan Halimi berkata penubuhan jawatankuasa itu sejajar komitmen kerajaan negeri memastikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan.

Massive gas pipeline fire
Exco Selangor Mohd Najwan Halimi berkata jawatankuasa bebas itu dianggotai pakar teknikal, ahli akademik dan profesional tiada kepentingan dengan pihak terbabit dalam kebakaran serta letupan paip gas di Putra Heights April lalu. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor melantik lapan ahli jawatankuasa bebas bagi menyiasat kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu.

Exco Pengurusan Bencana Selangor, Mohd Najwan Halimi, berkata penubuhan jawatankuasa itu sejajar komitmen kerajaan negeri memastikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan dalam menangani insiden membabitkan infrastruktur kritikal.

Menurutnya, jawatankuasa itu akan menyiasat punca sebenar kebakaran dan letupan paip gas di lokasi, menilai tahap pematuhan prosedur operasi standard pihak berkaitan, mengesyorkan langkah penambahbaikan serta membentangkan laporan siasatan lengkap kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, jawatankuasa itu dianggotai pakar teknikal, ahli akademik dan profesional dalam industri berkaitan yang tiada sebarang kepentingan dengan pihak terbabit secara langsung dalam insiden itu.

“Pelantikan ahli jawatankuasa ini juga mendapat kelulusan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan akan memulakan siasatan serta-merta selama satu atau dua bulan sehingga pelaporan siasatan lengkap dan siap sepenuhnya,” katanya menurut Harian Metro selepas majlis penyerahan surat pelantikan ahli jawatankuasa bebas itu di Shah Alam.

Najwan berkata, jawatankuasa itu diketuai Felo Penyelidik Kanan Disaster Preparedness and Prevention Center di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Khamarrul Azahari Razak.

Ahlinya termasuk Prof Mohd Zahirasri Mohd Tohir dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia, Muhamad Her Jantan dari Persatuan Jurutera Malaysia, Naib Presiden Pertubuhan Perancangan Malaysia, Abdul Hamid Akub serta Pengurus Tugas Khas Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan, Shahronizam Noordin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.