Rakyat digantung di Singapura, bekas Ahli Parlimen gesa ketat kawalan sempadan

Rakyat digantung di Singapura, bekas Ahli Parlimen gesa ketat kawalan sempadan

Kasthuri Patto persoal mengapa polis Malaysia, imigresen dan kastam gagal hentikan keldai dadah sebelum mereka menyeberang ke Singapura.

Bekas Ahli Parlimen DAP Kasthuri Patto berkata pemeriksaan dan rondaan sempadan mesti dipertingkatkan di pusat pemeriksaan dan sempadan untuk menahan keldai dadah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto menggesa pihak berkuasa mempertingkatkan penguatkuasaan di pintu masuk dan sempadan, susulan pelaksanaan hukuman mati terhadap rakyat Malaysia K Datchinamurthy di Singapura kerana menyeludup dadah.

Kasthuri, yang juga setiausaha biro hal ehwal antarabangsa DAP, mempersoalkan mengapa polis, imigresen dan pegawai kastam Malaysia gagal menahan serta memeriksa keldai dadah sebelum mereka menyeberang masuk ke Singapura.

“Persoalan mendesak dan tidak dapat dielakkan di sini ialah mengapa mereka tidak ditahan oleh kastam atau pasukan polis di Malaysia?

“Adakah pegawai Malaysia tidak tahu tentang bungkusan pada lelaki ini atau yang berada dalam kenderaan mereka?

“Atau adakah mereka tahu tetapi ‘membenarkan’ mereka melepasi pusat pemeriksaan sempadan Malaysia ke Singapura supaya mereka boleh ditahan di sana?” katanya dalam kenyataan.

Datchinamurthy, 39, ditahan di pusat pemeriksaan Woodlands pada 2011 dan dijatuhi hukuman mati empat tahun kemudian kerana menyeludup 44.96g diamorfin ke negara itu.

Dia sepatutnya dihukum mati pada 2022 tetapi mendapat penangguhan sementara pelaksanaan hukuman berikutan saman undang-undang terhadap kerajaan Singapura mengenai hukuman matinya. Namun, dia dihukum gantung pada Khamis lalu selepas rayuannya gagal dan petisyen pengampunannya ditolak.

Datchinamurthy salah seorang daripada empat rakyat Malaysia dihukum gantung di Singapura, yang mana sebelum ini Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia menggesa campur tangan kerajaan.

Tiga lagi ialah P Pannir Selvam, S Saminathan dan R Lingkesvaran.

Kasthuri berkata, sudah tiba masa pihak berkuasa di pintu masuk dan rondaan sempadan menambah sumber serta kepakaran, baik dari segi perkakasan mahupun perisian, untuk mengekang kemasukan bahan terlarang itu oleh keldai dadah.

“Pihak berkuasa penguatkuasaan Malaysia mesti dilengkapi kebolehan mengenal pasti penyeludup dadah di pusat pemeriksaan sempadan negara kita, bagi mendapatkan maklumat penting tentang sindiket dadah.

“Ini akan membolehkan polis, kastam dan pegawai imigresen mendapat gambaran lebih mendalam mengenai pengedar dan perekrut yang memperdaya mangsa.”

Katanya, mangsa terbabit biasanya daripada golongan miskin dan terpinggir – ditipu, dipaksa, diperas ugut serta diugut untuk membawa dadah merentasi sempadan.

“Malaysia mesti melakukan lebih baik dalam menegakkan kedaulatan undang-undang serta keadilan, kesaksamaan, kebebasan dan kebenaran – tanpa penghakiman, ketakutan atau pilih kasih, terutama bagi rakyat Malaysia yang berdepan hukuman mati di luar negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.