GSF akan masuk zon kuning, risiko dipintas tinggi

GSF akan masuk zon kuning, risiko dipintas tinggi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, zon bermula 300 batu nautika dari Gaza itu mempunyai rekod insiden gangguan oleh rejim Zionis sebelum ini.

Kerajaan Malaysia beri sokongan penuh kepada inisiatif GSF serta Sumud Nusantara, sentiasa memantau pergerakan misi itu, bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia yang terlibat, kata Fahmi Fadzil. (Gambar EPA Images)
SEPANG:
Kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) akan memasuki ‘zon kuning’ dalam masa terdekat dan menghadapi risiko tinggi untuk dipintas tentera Israel, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, status terkini kesemua 47 kapal tersebut serta 34 peserta rakyat Malaysia dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Sani Araby Abdul Alim Araby di Pusat Gerakan Sumud Nusantara hari ini.

Katanya, berdasarkan pengalaman misi terdahulu, zon yang bermula 300 batu nautika dari Gaza itu mempunyai rekod insiden gangguan oleh rejim Zionis, dan jangkaan yang sama mungkin akan berlaku terhadap GSF kali ini.

“Ini merupakan saat yang genting dan dijangkakan kemungkinan untuk berlaku pemintasan daripada pihak Israel itu adalah berkemungkinan besar,” katanya pada sidang media selepas menerima taklimat berhubung misi tersebut.

“Memandangkan telah berlaku insiden di Tunisia dan beberapa insiden gangguan, kita perlu menjangkakan dalam zon kuning juga kemungkinan berlaku insiden.”

Fahmi berkata, kerajaan memberikan sokongan penuh kepada inisiatif GSF serta Sumud Nusantara, dan menerusi Kementerian Luar, sentiasa memantau pergerakan misi itu, bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia yang terlibat.

“Kita berada dalam saat-saat yang sangat bersejarah, dunia tidak lagi akan berdiam diri membenarkan negara haram Israel dengan rejim Zionis untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahukan,” katanya.

Semasa lawatannya, Fahmi menerima taklimat terperinci mengenai status semasa misi tersebut dan berkesempatan mengadakan panggilan video dengan tujuh warga Malaysia terlibat.

Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan, selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.