
Bercakap pada Forum Antarabangsa Minggu Atom Dunia, beliau berkata Malaysia perlu mempertimbangkan faedah jangka panjang dalam penggunaan tenaga nuklear, sambil menambah bahawa ia bukan sekadar satu pelaburan yang mahal.
“Ia bukan hanya mengenai perbelanjaan beberapa bilion dolar untuk sebuah loji kuasa nuklear. Kita bercakap tentang tiga generasi profesional yang akan mempunyai pekerjaan stabil, gaji lumayan serta peluang kerjaya yang menarik, selain pembangunan industri untuk negara,” katanya kepada wartawan pada sidang media di sini semalam.
Bilbao berkata tenaga nuklear boleh membekalkan kuasa kepada negara untuk 100 tahun akan datang, sambil mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi jauh melangkaui bidang kejuruteraan nuklear.
“Kita perlukan jurutera mekanikal, awam, elektrik dan kimia. Tetapi kita juga perlukan pakar komputer, pengatur cara, tukang kimpal, pengurus projek, peguam, pakar ekonomi dan pakar komunikasi.
“Profesion dalam bidang nuklear tidak terhad kepada jurutera. Ada peranan untuk semua orang,” katanya.
Walaupun mengakui kos permulaan yang tinggi dalam tempoh lima tahun pertama, Bilbao berpendapat bahawa manfaatnya – tenaga bersih sepanjang masa, industri yang berkembang maju serta penciptaan pekerjaan – jauh mengatasi perbelanjaan.
“Kita perlu melihat keseluruhan perniagaan, bukan hanya lima tahun yang diperlukan untuk membina sebuah unit. Loji ini akan membekalkan elektrik dan haba yang bebas karbon, sangat boleh dipercayai, 24/7 untuk tempoh 60, 80 malah 100 tahun,” katanya.
Pada 6 Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata Malaysia sedang mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga jangka panjang, namun keputusan muktamad sama ada untuk meneruskan penjanaan tenaga nuklear hanya akan dibuat selepas 2030.
Fadillah, yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air, berkata kerajaan masih belum membuat komitmen untuk membina loji kuasa nuklear.
Bagaimanapun, kerajaan telah menubuhkan sebuah organisasi khusus tenaga nuklear untuk mengkaji semua kerangka yang diperlukan, termasuk perjanjian antarabangsa, peraturan domestik dan keperluan modal insan.
Minggu Atom Dunia yang berlangsung dari 25 hingga 28 September di Moscow, menghimpunkan pemimpin kerajaan, organisasi antarabangsa, pemain industri dan pakar untuk membincangkan masa depan tenaga nuklear serta peranannya dalam pembangunan global.