
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), sebanyak RM2.6 juta urus niaga direkodkan setakat 9 malam tadi, melibatkan pembelian 1.3 juta liter RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter.
MoF berkata berdasarkan laporan di lapangan, sistem BUDI95 beroperasi dengan stabil dan proses pengesahan MyKad di terminal stesen minyak dilaporkan berjalan tanpa masalah.
“Kementerian merakamkan penghargaan kepada semua anggota tentera dan polis yang menjadi kumpulan terawal memanfaatkan BUDI95,” menurut kenyataan.
BUDI95 yang dilaksanakan berperingkat akan diperluaskan kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40 bermula esok, sebelum pelaksanaan sepenuhnya kepada 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif bermula 30 Sept.
Sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 Sept lalu, seramai 8.1 juta pengguna membuat semakan kelayakan untuk memanfaatkan subsidi RON95 di bawah sistem baharu ini.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui laman web www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595.
BUDI95 merupakan inisiatif subsidi bersasar diperkenalkan kerajaan di bawah kerangka Ekonomi Madani bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak, sekali gus mengurangkan ketirisan subsidi yang selama ini turut dinikmati warga asing.