
Bilcher Bala dan Syahruddin Awang Ahmad senada pertembungan ‘hampir pasti’ itu ekoran isyarat diberikan seorang pemimpin Umno Sabah yang menuntut kerusi tradisi parti terbabit yang mengikut perbincangan awal dipersetujui ditandingi PH.

Ia termasuk kerusi DUN Gum Gum, yang sebelum ini disandang BN namun tewas kepada Warisan dalam saingan enam penjuru pada PRN 2020. Ketika itu, PH bekerjasama dengan Warisan, parti pimpinan Shafie Apdal.
“Kemungkinan (bertembung satu sama lain) itu sangat nyata,” kata Bilcher dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), sambil menambah situasi itu mampu menjejaskan kepercayaan akar umbi dan pengundi, yang melihatnya sebagai ketidaktentuan prinsip.

Syahruddin juga dari UMS berpandangan ketidaksefahaman di beberapa kerusi berpotensi menjejaskan hubungan BN-PH susulan risiko serangan peribadi serta isu sensitif dibangkitkan sepanjang tempoh berkempen.
“Ini bukan sekadar pertarungan antara calon tetapi pertarungan antara jentera parti. Jentera PH mungkin tidak akan menyokong calon BN di kawasan yang mereka bertembung dan sebaliknya,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan rundingan dengan BN kini di peringkat akhir dengan hanya dua atau tiga kerusi belum dimuktamadkan bagi mengelakkan pertembungan satu sama lain.
Kenyataan itu menyusul gesaan Ketua Umno Libaran Suhaimi Nasir minggu lalu supaya pimpinan BN menuntut semula DUN Gum Gum yang mengikut rundingan awal diberikan kepada PH.
Gum Gum, selain Sungai Manila dan Sungai Sibuga antara tiga DUN bawah Parlimen Libaran.
Pada 13 Sept lalu, Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar melancarkan jentera pilihan raya parti itu untuk DUN Gum-Gum, menggambarkan kesediaannya mewakili PH bertanding di kerusi berkenaan pada PRN.
Dalam pada itu, Bilcher dan Syahruddin berpandangan kerjasama pasca pilihan raya kemungkinan besar akan berulang, mengambil kira dinamika politik di Sabah yang lebih cair sejak PRU 2018 dan PRN 2020.
Syahruddin juga berkongsi keyakinan Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi selaku ketua gabungan PH dan BN, serta bersama mentadbir di Putrajaya akan menggesa penyatuan semula di peringkat negeri selepas berakhirnya PRN.
“Ini adalah corak politik yang kini lebih dominan dan lazim diamalkan di Malaysia, di mana ideologi diketepikan demi kestabilan atau pembentukan majoriti kerajaan,” kata Syahruddin.
Bilcher pula berkata: “Walaupun berlaku pertembungan, kerjasama pasca pilihan raya tetap berpotensi berlaku, terutama jika tiada satu blok memperoleh majoriti jelas.”