
Beliau menyelar sikap segelintir pemimpin pembangkang, yang menggunakan agama sebagai topeng untuk menyerang kerajaan dengan kata-kata kesat dan tuduhan liar.
“Saya jarang komen tentang orang, tapi bila dengar seorang Ahli Parlimen kata ‘maruah kita sudah rosak’, saya hendak tanya, masa mereka perintah dulu, PAS bersama kerajaan, judi ditambah atau tidak?
“Jangan bercakap ikut nafsu, berlapik dengan agama tetapi hakikatnya bercanggah,” kata beliau pada sambutan ulang tahun ke-27 Reformasi PKR di Melaka, lapor Bernama.
Acara itu turut dihadiri Ketua PKR Melaka Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh.
Ketika berucap, Anwar turut membandingkan rekod pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya gagal memperkukuh agenda Islam, malah menambah lesen khas nombor ramalan.
“Bandingkan kerajaan Madani dengan PN. Program Islam apa mereka buat di Kementerian Pendidikan? Judi mereka tambah sampai 22 kali cabutan. Tapi PAS tidak wajar kritik kerana ketika mereka dalam kerajaan, merekalah yang menaikkan jumlah itu,” katanya.
Anwar berkata, beliau sedia menerima teguran sekiranya ia berniat baik untuk memperbaiki akhlak selaras dengan gagasan Madani, namun menolak jika kerajaan dituduh sebagai anti-Islam.
“Di mana kita menentang Islam? Peruntukan untuk Islam kita tambah, maahad tahfiz kita bantu, anak-anak huffaz kita bawa ke institut Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta diberi latihan,” katanya
Dalam pada itu, Anwar berkata, perjuangan Reformasi sejak dahulu mengajar rakyat berani menegur menggunakan fakta, bukan melabel orang sebagai kafir atau munafik tanpa bukti.
“Kita ajar keberanian untuk sanggah rasuah, bukan guna agama untuk menipu rakyat,” katanya sambil menekankan bahawa kerajaan Madani akan terus menzahirkan nilai Islam menerusi pentadbiran yang bersih, adil dan membela rakyat.
Menyentuh mengenai aspek integriti, Anwar berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kebebasan penuh untuk bertindak tanpa campur tangan politik.
“Kalau ada menteri, timbalan menteri atau sesiapa sahaja dalam kerajaan ini terlibat rasuah, kita tidak akan lindungi. Harta yang dicuri mesti dipulangkan kepada rakyat,” kata beliau.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh perpaduan dengan menolak politik kebencian perkauman, serta memastikan pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak termasuk menaik taraf sekolah daif serta mempercepat projek infrastruktur asas.
“Negara ini mesti dipimpin dengan tekad, kerja keras dan amanah, bukan dengan retorik atau kebencian.
“Malaysia Madani adalah untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.