
“Sebelum ini, warga asing pun boleh dapat minyak subsidi kita. Sekarang ini, bila guna MyKad atau MyTentera, ia memang untuk warganegara sahaja. Tak ada istilah orang luar boleh beli minyak murah,” kata Nur Furqhan Raffiee, yang berkhidmat di Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat.

Furqhan salah seorang daripada daripada kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis yang menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter — kumpulan pertama yang menikmati kemudahan itu hari ini, menerusi inisiatif yang dilaksanakan secara berperingkat.
Furqhan ditemui di majlis pelancaran BUDI95 untuk warga tentera di BHPetrol Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.
Beliau memberitahu pemberita kebimbangannya meleset sama-sekali selepas selesai membeli petrol. “Tak susah pun, dia mudah saja. Ke kaunter, bagi kad pengenalan, bayar dan pam.”
Sementara itu, Adzrullail Amirolshah berkata penggunaan MyKad membolehkan kerajaan menyalurkan subsidi dengan tepat dan telus, selain menghalang pihak tidak layak mengambil kesempatan.

“Kami sebagai rakyat sudah tentu menggunakan MyKad dalam apa-apa urusan. Dengan cara ini, minyak murah hanya akan sampai kepada rakyat yang layak,” katanya.
Bagi Al-Muthanna Razeef, penyasaran subsidi RON95 memberi impak positif kepada ekonomi keluarga anggota tentera, yang berdepan tekanan kewangan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Madani kerana inisiatif ini,” katanya.
Majlis hari ini disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Lokman Hakim Ali, diiringi Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol Azizul Azily Ahmad, serta para pegawai kanan angkatan tentera. BHPetrol sebuah syarikat minyak di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera.
Selain memastikan kebajikan rakyat kekal dipelihara, penyasaran subsidi RON95 mencerminkan pendekatan kerajaan Madani dalam menangani ketirisan dan penyeludupan RON95, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.

Menerusi inisiatif BUDI95, rakyat akan menerima harga siling kelayakan bulanan RON95 sebanyak 300 liter sebulan pada harga RM1.99/liter. Pemandu e-panggilan diberi pengecualian daripada siling kelayakan itu, dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan.
Hari ini, sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis, kemudian pada esok penerima Sumbangan Tunai Rahmah yang merupakan golongan B40 pula akan menikmati manfaat tersebut.
Ia akan diikuti warganegara berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif, bermula 30 Sept ini.