Syarikat belum dapat kad fleet boleh tuntut balik subsidi RON95

Syarikat belum dapat kad fleet boleh tuntut balik subsidi RON95

Menteri Armizan Mohd Ali berkata syarikat perlu mengemukakan rekod telah mendaftar di bawah SKPS dan telah memohon kad fleet sebelum atau pada 31 Oktober.

Petrol 95
Syarikat perlu mengemukakan rekod telah mendaftar di bawah SKPS untuk memohon tuntutan bayaran balik.
PETALING JAYA:
Syarikat pengangkutan darat awam dan barangan belum mendapatkan kad fleet bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) boleh memohon tuntutan bayaran balik tunai subsidi RON95, mulai 30 Sept ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata langkah itu bagi membolehkan syarikat berkaitan membuat tuntutan perbezaan harga RON95 yang telah dibayar pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga subsidi RON95 SKPS iaitu RM2.05 seliter.

“Namun ia tertakluk kepada syarat tertentu di mana syarikat perlu mengemukakan rekod telah mendaftar di bawah SKPS dan telah memohon kad fleet sebelum atau pada 31 Oktober.

“Selain itu, pembayaran balik tunai adalah untuk tempoh pembelian petrol mulai 30 Sept sehingga 31 Okt, atau sehingga tarikh kad fleet diterima syarikat yang mana lebih awal,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, permohonan boleh dibuat melalui platform SKPS dan semua tuntutan bayaran balik tunai wajib disokong dengan bukti resit pembelian petrol RON95 dan dimuat baik dalam SKPS.

“Bayaran balik akan dikreditkan terus ke akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas semakan selesai,” katanya.

Mengulas lanjut, Armizan berkata sebanyak 5,233 syarikat membabitkan 12,955 kenderaan di seluruh negara sudah berdaftar di bawah SKPS untuk menikmati subsidi petrol RON95.

Beliau menggesa syarikat-syarikat yang masih belum mendaftar untuk berbuat demikian bagi menikmati subsidi bahan api itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.