
Dalam hujah penutup bagi saman sivil SRC International Sdn Bhd berjumlah USD1.18 bilion terhadap Najib, peguam Farhan Shafee berkata lembaga pengarah tidak terikat berdasarkan undang-undang untuk mengikut arahan daripada pemegang saham.
“Oleh itu, mereka tidak boleh berselindung di sebalik alasan mengikut arahan pemegang saham,” katanya.
Beliau berkata SRC ditubuhkan di bawah seliaan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan ketika itu Najib sebagai menteri kewangan merupakan pemegang saham tunggal.
Farhan berkata beberapa bekas lembaga pengarah memberi keterangan bahawa mereka membuat keputusan dengan pertimbangan bebas.
Semalam, SRC dalam hujah penutup menegaskan Najib Razak tidak boleh berselindung di sebalik lembaga pengarah, memandangkan beliau sendiri gagal menjalankan usaha wajar ketika mendapatkan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Farhan berhujah, kecuaian pertama lembaga pengarah berlaku ketika mesyuarat sulung syarikat pada 2011, yang kemudian menjadi titik mula kepada salah urus.
“Walaupun permohonan (separuh pertama pinjaman) dibuat oleh pengurusan sebelum itu, keputusan menerima pinjaman terletak pada kuasa lembaga pengarah,” katanya yang menambah lembaga pengarah ada kuasa berkata ‘ya’ atau ‘tidak’.
“Mereka sepatutnya menangguhkan (keputusan itu). Walaupun berasa tertekan dengan desakan defendan pertama (Najib) untuk menerima (pinjaman), apa yang menghalang mereka?” katanya.
Beliau menambah lembaga pengarah sepatutnya meminta CEO ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil, menyampaikan kebimbangan mereka kepada Najib, dan kegagalan berbuat demikian adalah satu bentuk kecuaian.
Farhan turut menolak dakwaan lembaga pengarah bahawa mereka tiada pilihan kerana Najib mempunyai kuasa melantik dan memecat, dengan menyifatkan kebimbangan itu sebagai satu ‘ilusi’.
Katanya, tiada seorang pun lembaga pengarah diugut ketika itu.
“Kalau anda yakin keputusan anda betul. Undang-undang ada remedi. Boleh bawa ke Mahkamah Perusahaan jika perlu.
“Jika komposisi ‘kami perlu dengar cakap kerajaan semasa’ diterima mahkamah ini, apa mesej yang kita hantar untuk tadbir urus korporat?” soalnya.
Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata beliau memerlukan masa untuk meneliti setiap hujahan dan akan menetapkan tarikh lain untuk keputusan.
“Kini beban terletak di bahu saya. Mohon bersabar,” katanya.
SRC International menyaman Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif, Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas, atas dakwaan menggelapkan harta syarikat dan bersekongkol secara tidak jujur untuk menukarkannya bagi kegunaan mereka.
Saman itu pada asalnya menyenaraikan bekas pengerusi SRC, Ismee Ismail, serta bekas pengarah Suboh Yasin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Azhar Osman Khairuddin, dan Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, sebagai defendan bersama.
SRC kemudian menggugurkan kes terhadap mereka. Namun, mereka ditambah sebagai pihak ketiga oleh Najib.
Najib disabitkan kesalahan menyelewengkan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Beliau memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian mengurangkan tempoh penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.