
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan, dapatan itu diperoleh hasil siasatan teknikal dilaksanakan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Jemaah Menteri Rabu lalu mengambil maklum laporan teknikal berkenaan.
“Siasatan teknikal MAHB mendapati punca utama insiden tersebut disebabkan kewujudan arus edaran yang terhasil di sepanjang laluan kabel antara Pencawang 33kV yang membekalkan kuasa ke KLIA T2 dengan pencawang 11kV di Terminal.
“Keadaan ini menyebabkan pemanasan setempat pada penamatan kabel hingga berlakunya insiden flashover,” menurut kenyataan itu.
MOT memaklumkan faktor rintangan tanah yang tinggi turut menyumbang secara tidak langsung dengan menghalang pelepasan arus ke bumi secara berkesan sekali gus meningkatkan tekanan haba pada kabel pelindung.
Susulan insiden itu, MOT memaklumkan pasukan teknikal MAHB telah melaksanakan beberapa tindakan segera antaranya membaiki semua penamatan kabel.
Tindakan lain adalah memasang sarung pembatas voltan di lokasi pendawaian silang untuk mengurangkan kesan arus edaran serta penilaian dan konfigurasi semula pemasangan pembumian.
“Tindakan segera lain adalah menambah baik rejim penyelenggaraan dengan menggabungkan ujian separa nyahcas dan pemeriksaan termografi ke dalam pelan penyelenggaraan pencegahan (PPM) kabel kuasa,” menurut kenyataan.
Bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan sistem, MAHB turut mengenal pasti tindakan penambahbaikan jangka masa panjang.
Ia merangkumi tindakan mengkaji kebolehlaksanaan pemasangan sistem automatic transfer switch (ATS) bagi mempercepatkan bekalan kuasa sokongan dan mengoptimumkan penggunaan generator untuk melindungi lebih banyak perkhidmatan kritikal.
Penambahbaikan lain adalah memendekkan jadual penyelenggaraan PPM untuk ujian beban genset di Gateway@klia2 daripada tiga bulan kepada dua bulan sekali bagi meningkatkan tahap kebolehpercayaan serta pengesanan awal insiden flashover.
“(MAHB) melaksanakan kajian menyeluruh mengenai rintangan tanah di sepanjang laluan kabel, termasuk analisis bermusim dan keberkesanan sistem pembumian serta pendawaian silang, supaya risiko arus beredar dapat dikawal dengan lebih berkesan pada masa hadapan selain meningkatkan keberkesanan sistem pembumian,” menurut kenyataan.
MOT memaklumkan MAHB mengesahkan tiada operasi kritikal lapangan terbang yang terjejas akibat insiden tersebut.
“MOT akan terus memantau pelaksanaan langkah susulan oleh MAHB bagi memastikan tahap keselamatan, kecekapan, dan kebolehpercayaan sistem di KLIA sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Fokus utama kerajaan adalah memastikan insiden ini ditangani segera dengan langkah pencegahan yang berkesan supaya kejadian seumpamanya tidak berulang,” menurut kenyataan itu.
Media sebelum ini melaporkan KLIA Terminal 2 mengalami gangguan elektrik pada jam 2.15 petang pada 28 Ogos lepas.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali kerana menjejaskan imej negara.