Tarif AS terhadap Asean mungkin lebih tinggi bergantung hasil rundingan

Tarif AS terhadap Asean mungkin lebih tinggi bergantung hasil rundingan

Wakil AS Jamieson Greer berkata, jika persetujuan memuaskan AS tak dapat dicapai, tarif kekal jadi penyelesaian munasabah.

Jamieson Greer
Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer berkata, pihaknya kini menumpukan pada perundingan perjanjian perdagangan dengan ekonomi Asean. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Amerika Syarikat (AS) tidak menolak kemungkinan mengenakan satu lagi pusingan tarif ke atas negara-negara Asean jika rundingan perdagangan gagal membawa hasil yang memuaskan bagi Washington.

Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer berkata, pihaknya kini menumpukan pada perundingan perjanjian perdagangan dengan ekonomi Asean.

“Pada masa ini, kami sedang dalam proses merundingkan perjanjian dan mewujudkan hubungan ekonomi yang stabil antara AS dan negara-negara Asean.

“Apa yang kami tumpukan pada masa ini adalah rundingan, bukan tarif,” katanya ketika ditanya sama ada AS akan mengenakan tarif tambahan ke atas negara-negara Asean.

“Bagaimanapun, sekiranya kami tidak dapat mencapai persetujuan, selepas itu tarif kekal sebagai penyelesaian yang munasabah.”

Greer berkata demikian kepada pemberita di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi Asean ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan di sini.

Mengenai sama ada eksport semikonduktor dari negara-negara Asean ‘selamat’ daripada tarif AS, beliau berkata, rantaian bekalan semikonduktor global adalah kompleks.

“Ia juga penting kepada keselamatan negara bagi AS dan negara-negara Asean. Oleh itu, kami mahu berhati-hati dan teliti dalam menangani situasi perdagangan antarabangsa.

“Kami perlu memastikan rantaian bekalan untuk AS tetapi negara-negara Asean kekal sebagai sumber penting untuk semikonduktor,” kata Greer.

Bulan lepas, AS mengenakan tarif 19% ke atas Malaysia, Kemboja, Filipina, Thailand dan Indonesia.

Vietnam dikenakan kadar yang lebih tinggi, iaitu 20%, diikuti Brunei (25%), manakala rakan dagangan utama AS iaitu Singapura terus dikenakan tarif terendah dalam kalangan negara Asean, iaitu 10%, yang tidak berubah sejak pelaksanaan awal.

Bagaimanapun, Laos dan Myanmar menjadi negara paling terkesan apabila dikenakan tarif 40%.

Selepas mengumumkan tarif bulan lepas, Presiden Donald Trump menegaskan AS mungkin mengenakan tarif ‘agak besar’ ke atas import semikonduktor.

Bagaimanapun, setakat ini tindakan sedemikian tidak dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.