Persatuan industri semikonduktor kemuka syor perkukuh daya saing Malaysia

Persatuan industri semikonduktor kemuka syor perkukuh daya saing Malaysia

Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia mahu mempercepatkan kemaraan Malaysia dalam rantaian nilai, inovasi, daya tahan dan pertumbuhan mampan.

semiconductor
Industri semikonduktor antara sektor yang akan diberi tumpuan dalam perancangan Belanjawan 2026, menurut laporan.
PETALING JAYA:
Pemain industri berharap Belanjawan 2026 akan memberikan relif kos bersasaran, penyelarasan peraturan, insentif bagi tenaga berbakat, dan instrumen pelaburan strategik, menyusuli pengiktirafan kerajaan terhadap sektor semikonduktor sebagai pemacu ekonomi yang penting.

Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) berkata langkah-langkah tersebut akan mempercepatkan kemaraan Malaysia dalam rantaian nilai, menyokong inovasi, daya tahan, dan pertumbuhan mampan.

“Menjelang Belanjawan 2026, industri ini mengharapkan langkah-langkah yang akan mengukuhkan daya saing Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global,” kata pengarahnya, Andrew Chan.

MSIA mengesyorkan Belanjawan 2026 membantu industri menangani peningkatan kos menjalankan perniagaan, seperti relif duti setem, perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dan tarif elektrik untuk mengurangkan tekanan kos, disokong insentif bagi kecekapan tenaga dan pelaburan automasi.

Ia turut mengesyorkan dasar-dasar untuk mempelbagaikan pasaran eksport, geran bagi daya tahan rantaian bekalan, dan pengenalan ‘Qualified Refundable Tax Credit’ (QRTC) untuk mengimbangi kesan Cukai Minimum Global dan mengekalkan daya saing pelaburan Malaysia.

Menurut Chan, syor tersebut bagi menyokong kesiapsiagaan dari segi perdagangan dan menghadapi cabaran geopolitik.

MSIA juga mahu kecekapan kawal selia dipertingkat agar operasi perniagaan lebih lancar, mengesyorkan kelulusan yang lebih pantas untuk insentif pelaburan, kemas kini kerangka ‘Licensed Manufacturing Warehouse’ (LMW) untuk memasukkan firma R&D dan firma berorientasikan reka bentuk, serta perkemas proses-proses ‘Certificate of Completion and Compliance’ (CCC) dan kastam.

Turut disentuh soal membangunkan dan mengekalkan tenaga berbakat, yang mana MSIA mengesyorkan insentif untuk pendidikan STEM, pemodenan universiti dan institusi TVET, serta relif cukai bersasaran untuk mengekalkan jurutera di Malaysia.

Menurut Chan, pemain industri juga mencadangkan graduan STEM asing dan kepakaran global dimanfaatkan untuk mengisi kekurangan tenaga berbakat yang kritikal.

“Kami juga telah berkongsi cadangan-cadangan ini dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagi memastikan keutamaan kerajaan dan keperluan industri sejajar,” katanya.

Sektor semikonduktor strategik dan utama

Industri semikonduktor merupakan satu daripada tiga sektor yang akan diberi tumpuan dalam perancangan Belanjawan 2026, menurut Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan pada 7 Ogos.

Kenyataan itu senada dengan harapan Chan, yang mencadangkan sektor semikonduktor dikelaskan sebagai sektor strategik dan utama.

Jelasnya, pengiktirafan sedemikian akan membuka sokongan fiskal dan bukan fiskal yang dipertingkatkan, termasuk keutamaan bagi kelulusan tenaga kerja, permit, dan keizinan kawal selia; syarat-syarat pinjaman yang lebih baik untuk projek-projek intensif modal; dan pengecualian atau pengurangan bersasaran dalam SST, duti import, dan cukai korporat.

“Selain langkah-langkah berkaitan kos, pengkelasan itu boleh menginstitusikan sokongan dasar peringkat tinggi, contohnya majlis semikonduktor kebangsaan, mengukuhkan mobiliti dan pengekalan tenaga berbakat melalui visa pantas dan insentif-insentif untuk jurutera, serta meluaskan insentif khusus untuk penyelidikan dan pembangunan, dan pembangunan ekosistem,” katanya.

Dalam pada itu, Chan berkata siap siaga prasarana dan tapak akan melengkapkan langkah-langkah yang dicadangkan tersebut, manakala instrumen pelaburan setanding piawaian antarabangsa seperti QRTC akan mengukuhkan lagi daya saing negara.

“Menaikkan taraf industri semikonduktor dengan cara ini akan menghantar isyarat yang kuat tentang komitmen jangka panjang Malaysia kepada industri ini, meningkatkan daya tahan menghadapi kejutan geopolitik, dan mempercepatkan kemaraan negara dalam rantaian nilai semikonduktor global,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.