
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata aspirasi kerajaan bukan sekadar meningkatkan jumlah bahan bacaan, tetapi membentuk masyarakat berpengetahuan, kritis, inovatif dan berdaya saing dalam ekonomi berteraskan ilmu.
“Kempen ini akan memperkukuh usaha ke arah melahirkan rakyat yang celik maklumat, bersikap terbuka dan sentiasa meningkatkan keupayaan diri melalui pembacaan,” katanya dalam kenyataan.
Kempen Malaysia Membaca diadakan sempena penganjuran Karnival Baca Perdana hasil kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia oleh PNM menunjukkan peningkatan ketara kadar bacaan, iaitu daripada dua naskhah setahun pada 2005 kepada 15 naskhah (2014) dan 24 naskhah (2023), menandakan kejayaan inisiatif memupuk budaya ilmu.
Sepanjang kempen, pelbagai program akan dilaksanakan termasuk aktiviti interaktif di PNM dan 506 perpustakaan desa di seluruh negara.
Selain itu, Pesta Buku Negeri Sarawak yang akan berlangsung pada 27 Sept hingga 5 Okt turut menjadi sebahagian daripada rangkaian aktiviti Karnival Baca Perdana.
“Kementerian menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menjayakan Kempen Malaysia Membaca ini,” kata Aaron.
“Jadikan amalan membaca sebagai gaya hidup harian, serta kongsikan pengalaman membaca anda di media sosial dengan tanda pagar #MalaysiaMembaca.”