EcoWorld, SD Guthrie, NS Corp lengkap ambil alih tanah bangun Eco Business Park 7

EcoWorld, SD Guthrie, NS Corp lengkap ambil alih tanah bangun Eco Business Park 7

Tanah di Mukim Jimah diperoleh dengan nilai tunai RM572.76 juta menerusi SPA ditandatangani 18 April lepas.

Eco Business Park 7 merupakan sebahagian inisiatif memacu pembangunan mampan di Negeri Sembilan, dengan GDV dijangka mencapai RM2.95 bilion. (Gambar ecoworld.my/ecobusinesspark7)
PETALING JAYA:
Usahasama antara Eco World Development Group Bhd (EcoWorld), SD Guthrie Bhd dan NS Corporation (NS Corp) memuktamadkan pengambilalihan 1,195 ekar tanah pegangan bebas di Port Dickson bagi pembangunan Eco Business Park 7 (EBP7).

Eco Business Park 7 Sdn Bhd, yang mewakili ketiga-tiga syarikat itu memperoleh tanah di Mukim Jimah itu dengan nilai tunai RM572.76 juta menerusi Perjanjian Jual dan Beli (SPA) yang ditandatangani 18 April lepas.

Dalam kenyataan hari ini, SD Guthrie memaklumkan, Eco World Project Management Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh EcoWorld, telah dilantik sebagai pengurus pembangunan projek tersebut.

“Perkembangan tersebut memberi laluan kepada EBP7 untuk membangunkan sebuah taman perindustrian bersepadu bersama hab komersial sokongan di dalam kawasan Parcel C di Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), koridor ekonomi utama di pantai barat Semenanjung Malaysia,” katanya.

Taman perindustrian baharu tersebut merupakan sebahagian inisiatif memacu pembangunan mampan di Negeri Sembilan, dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dijangka mencapai RM2.95 bilion.

Menurut SD Guthrie, projek tersebut disasarkan dapat menarik pelaburan tempatan dan asing, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi serta merangsang agenda pertumbuhan ekonomi di negeri itu.

Kedudukannya yang strategik, dihubungkan melalui Lebuhraya Nilai-Labu yang dicadangkan, akan memberi akses kepada infrastruktur dan hab logistik utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pelabuhan Klang, Nilai, serta koridor pantai barat yang lebih besar melalui Lebuhraya PLUS.

“Akses tersebut sekaligus menawarkan ketersambungan dan kelebihan logistik yang kondusif untuk pertumbuhan perniagaan,” kata SD Guthrie.

EcoWorld memegang 55% kepentingan dalam EBP7, SD Guthrie Land Ventures Sdn Bhd 30%, manakala NS Corp 15%.

MVV 2.0, dilancarkan pada 2018, merangkumi enam kawasan pembangunan seluas kira-kira 380,000 ekar di Seremban dan Port Dickson sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan dan pelengkap pembangunan Kuala Lumpur Raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.