Aktivis tuntut Sabah isytihar tarikh bubar DUN elak rakyat keliru

Aktivis tuntut Sabah isytihar tarikh bubar DUN elak rakyat keliru

Beberapa aktivis berkata pengiraan lain berdasarkan peruntukan perlembagaan menunjukkan penggal lima tahun akan berakhir pada 8 Oktober ini.

dun sabah
Ahad lalu, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata DUN negeri itu dijangka dibubarkan sebelum ia terbubar sendiri pada 11 Nov ini bagi memberi laluan kepada PRN ke-17. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beberapa aktivis menuntut kerajaan negeri membuat pengumuman rasmi tarikh akhir penggal ke-16 DUN Sabah bagi mengelakkan kekeliruan dan potensi pelanggaran perlembagaan.

Tuntutan itu dibuat menerusi kenyataan bersama Penyelaras NGO Mandiri Wong KuKui serta empat aktivis termasuk Beverly Joeman, Irwan Idris, Andi Suraidah dan Mary Anne Baltazar.

Menurut kenyataan itu, pengiraan lain berdasarkan peruntukan perlembagaan menunjukkan penggal lima tahun akan berakhir pada 8 Oktober ini memandangkan majoriti Adun telah mengangkat sumpah pada 9 Oktober 2020 dan berlangsungnya persidangan pertama mengikut Peraturan Tetap 14 DUN Sabah.

Katanya, rakyat Sabah berhak mengetahui dengan jelas tanpa keraguan bila mandat wakil rakyat mereka berakhir dan bila DUN akan terbubar secara automatik.

“Apa-apa yang kurang daripada itu adalah penghakisan keyakinan terhadap proses demokrasi. Kami memohon agar Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah membuat pengumuman rasmi mengenai tarikh akhir penggal ke-16 DUN Sabah.

“Rakyat Sabah tidak sepatutnya terus dibebankan dengan teka-teki tarikh pilihan raya. Memanjangkan ketidakpastian tarikh pilihan raya ketika bencana sedang berlaku adalah amat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Tambahnya, pengumuman tarikh pembubaran DUN secara rasmi akan memudahkan persiapan PRN17 yang wajib diadakan dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan.

“Misalnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh segera mengumumkan tarikh pengundian, manakala polis, sekolah dan agensi kerajaan membuat persiapan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Pada masa sama, semua parti politik menangguhkan kempen pilihan raya mereka ke tarikh yang bersesuaian. Lebih penting, ini memudahkan pengundi khususnya mereka yang tinggal di luar kawasan dan dinafikan kemudahan undi pos atau bentuk pengundian luar kawasan lain,” katanya.

Ahad lalu, Ketua Menteri Hajiji Noor berkata Sabah dijangka dibubarkan sebelum ia terbubar sendiri pada 11 Nov ini bagi memberi laluan kepada PRN ke-17, namun beliau tidak menyebut sama ada Oktober atau November ini.

Katanya, pembubaran DUN tidak bergantung kepada ramalan cuaca Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) kerana penggalnya sudah di penghujung tempoh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.